Beringat hari ini demi keselesaan hari tua

Ehsan A Marisah
Januari 12, 2022 09:00 MYT
Pendekatan menggunakan simpanan KWSP bagi menampung keperluan kecemasan akan memberi impak serius kerana menyebabkan ahli mengalami kekurangan simpanan ketika usia persaraan selain ketidaktentuan lain seperti kos penjagaan kesihatan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, bencana banjir yang melanda negara telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian, susulan kerosakan pelbagai harta benda.
Kesukaran yang dialami juga memaksa segelintir mereka menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dilihat mampu meringankan beban mereka pada tempoh sukar ini.
Namun, sejauh manakah kewajaran bagi membenarkan pengeluarannya dibuat sekali lagi pada kali ini?
Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Yusof Shaari, pengeluaran insentif disediakan oleh KWSP perlulah menjadi benteng terakhir kepada pencarum atau isi rumah.
“Sebagai contoh, jangka hayat seseorang selepas bersara setiap bulan memerlukan sekitar RM1,500 sebulan dan sekurang-kurangnya RM180,000 dalam jangka masa 10 tahun mendatang.
“Dengan caruman yang rendah, pengeluaran KWSP selagi mana boleh dielakkan adalah lebih baik dan boleh memanfaatkan bantuan daripada kerajaan,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, kata Yusof, negara dijangka mencapai status ‘negara tua’, iaitu mereka berumur 60 tahun dan ke atas pada 2030 dijangka 15.3 peratus daripada keseluruhan penduduk negara, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Justeru, ia memberi satu peringatan kepada orang ramai agar mempunyai simpanan yang cukup untuk hari tua kerana pada usia emas lebih banyak perbelanjaan diperlukan.
“Penubuhan KWSP pada asasnya tidak dirangka untuk menangani bencana atau kecemasan tetapi dirangka untuk memastikan pencarum dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa selepas persaraan.
“Ini adalah salah satu jaringan perkhidmatan sosial selepas pekerja bersara kerana kehidupan perlu diteruskan meskipun selepas pencen,” katanya dalam satu wawancara SKOPMG, Malaysia Gazette TV: i-Citra KWSP | Keluar RM10K Jejas Simpanan Hari Tua?, baru-baru ini.
Sementara itu, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) dalam satu kenyataan menyokong keputusan kerajaan yang tidak berhasrat untuk membenarkan lagi skim pengeluaran KWSP.
“Pendekatan menggunakan simpanan KWSP bagi menampung keperluan kecemasan akan memberi impak serius kerana menyebabkan ahli mengalami kekurangan simpanan ketika usia persaraan selain ketidaktentuan lain seperti kos penjagaan kesihatan.
“Isu simpanan tidak mencukupi misalnya adalah sesuatu yang membimbangkan berikutan median simpanan golongan B40 adalah pada RM1,000.
"Jika keadaan itu berterusan sehingga tempoh persaraan, mereka akan hanya mempunyai RM4 sebulan untuk dibelanjakan selama 20 tahun.
“Bagi golongan M40 pula, simpanan sebanyak RM25,000 itu adalah sekitar RM104 sebulan bagi tempoh sama,” ujarnya.
Katanya lagi, caruman wajib KWSP itu merupakan teras dalam jaminan kewangan ahli pada usia tua dengan lebih 14 juta rakyat negara ini bergantung kepada dana persaraan itu sebagai jaminan jaringan persaraan masing-masing.
#KWSP #EPF #i-citra #banjir
;