Beri tumpuan utama kepada perpaduan dan pembangunan rakyat - Hajiji
Mirlen Axtius
Februari 3, 2023 13:32 MYT
Februari 3, 2023 13:32 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru semua pihak terus menjalankan tugas sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, terutamanya kepada rakyat.
Dalam tempoh ini, tegasnya tumpuan utama harus diberikan kepada perpaduan dan pembangunan rakyat di Sabah.
"Kita teruskan kerja kita sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat kerana kita mendapat kepercayaan, semua tahu keadaan kerajaan kita sekarang ini.
"Oleh itu, saya berharap mereka yang masih lagi mempunyai niat yang lain, mesti memberikan fokus kepada kebaikan negeri, perpaduan, dan pembangunan negeri serta rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Kenderaan kepada 21 Pejabat Kawasan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), di Menara Kinabalu pada Jumaat.
Mengulas mengenai penyerahan itu, Hajiji berkata ia bertujuan memberi kemudahan kepada PMM dan pegawainya untuk melawat kawasan khususnya di luar bandar.
"Saya berharap dengan adanya kenderaan rasmi untuk UPPM, maka pegawai-pegawai
kita dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang diamanahkan dengan lebih lancar dan berkesan", katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ditanya sekiranya ada perbincangan GRS-UMNO, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Manakala, ketika ditanya mengenai status Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dari Barisan Nasional (BN) atau UMNO, Hajiji berkata, perkara itu akan diselesaikan kemudian dan meminta semua agar bersabar.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata, kini adalah tempoh bertenang untuk semua pihak mencari titik persamaan dan memahami perbezaan antara satu sama lain bagi mencari jalan penyelesaian kemelut politik di Sabah.