"Beri tempoh 30 hari lagi kepada pemandu e-hailing"

Hasimi Muhamad
Julai 12, 2019 13:19 MYT
Dianggarkan sebanyak 48 peratus calon masih belum lulus dan layak dilesenkan dengan Lesen Vokasional PSV Teksi atau e-hailing.
Kerajaan disaran menangguhkan tempoh penguatkuasaan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) sekurang-kurangnya 30 hari lagi berbanding tarikh asal yang dijadualkan berkuat kuasa hari ini (12 Julai).
Menurut Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, perkara itu bagi mengelakkan berlaku sebarang gangguan dalam perkhidmatan e-hailing di negara ini.
Ini kerana katanya, dianggarkan sebanyak 48 peratus calon masih belum lulus dan layak dilesenkan dengan Lesen Vokasional PSV Teksi atau e-hailing.
“Oleh sebab ini merupakan peraturan baharu dan banyak pemandu e-hailing yang tidak begitu memahami langkah-langkah yang perlu mereka ambil untuk membolehkan mereka mematuhi peraturan tersebut.
“Jadi, mungkin tempoh yang diberikan sebelum ini tidak mencukupi. Jadi, pandangan saya adalah lebih baik kerajaan memanjangkan sehingga mereka boleh mematuhi peraturan baharu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.
Tambah Mohd Yusof, pengguna e-hailing juga mungkin berdepan dengan kenaikan tambang memandangkan jumlah tawaran perkhidmatan tersebut menurun berikutan kegagalan pemandu untuk mendapatkan lesen PSV dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam pada itu, hasrat sama turut disuarakan oleh Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali.
Katanya, kebanyakan pemandu e-hailing berdepan masalah untuk mendapatkan tarikh kursus dan ujian menduduki peperiksaan sehingga menyebabkan mereka gagal lulus dalam tempoh yang ditetapkan.
“Jadi, kita harap ada sedikit kelonggaran kepada mereka (pemandu e-hailing) kerana bukan mereka tidak mahu ambil (lesen PSV) tetapi sudah memohon dari bulan Jun lagi sehingga sekarang masih belum mendapat tarikh untuk melakukan poses PSV.
“Kita lihat lambakan pemandu menyebabkan permohonan terpaksa ditanggung oleh pihak institusi memandu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sehingga mengakibatkan kelewatan dalam hal ini,” ujarnya sambil menambah dianggarkan seramai 200,000 pemandu e-hailing telah berdaftar di negara ini.
Jumlah itu termasuk mereka yang bekerja sepenuh masa dan separuh masa.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memaklumkan seramai 16,338 calon menduduki ujian teori PSV untuk teksi dan e-hailing dan 10,151 daripada jumlah itu lulus serta layak memohon lesen berkenaan.
Syarikat e-hailing diberi tempoh setahun bermula Julai tahun lalu untuk membuat persiapan sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya pada hari ini.
#e-hailing #Fomca #grab #JPJ #kerajaan #Kuala Lumpur #presiden #teksi
;