Beri sokongan padu, pastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan pada PRN - PM Anwar
Bernama
Ogos 2, 2023 01:00 MYT
Ogos 2, 2023 01:00 MYT
SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru seluruh rakyat di Negeri Sembilan memberi sokongan kepada calon daripada parti Kerajaan Perpaduan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau berkata dengan sokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan menerusi PRN, ia akan turut memperkuatkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan termasuk di negeri ini.
"Mudah-mudahan dengan sokongan semua, kita dapat buat perubahan, saya harap sokongan kepada calon DUN Paroi Norwani (Ahmat)...kemenangan beliau akan memperkuatkan Kerajaan Negeri Perpaduan di negeri ini.
"Rekod Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar negeri ini antara yang baik dan harus diberikan sokongan padu kepada beliau," katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Taman Tuanku Jaafar, di sini, malam Rabu.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), ketika berucap di Taman Ampangan, dekat sini, berharap gabungan PH-Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan mampu menang dengan bergaya pada PRN kali ini sekali gus mengekalkan pentadbiran Kerajaaan Perpaduan.