Beri semula RM8 juta kalau mahu urus PPR di Selangor- Exco Negeri

Rahimah Abdullah
Ogos 3, 2016 21:18 MYT
Iskandar menyifatkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar cuba menjadi 'hero' dengan mempolitikkan masalah melibatkan PPR di Selangor. - Gambar fail
Kerajaan Negeri Selangor sedia menyerahkan pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu kepada kerajaan pusat bagi menyelesaikan masalah yang berlaku di perumahan itu, ujar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Bagaimanapun tegasnya, ia boleh dilakukan dengan syarat kerajaan pusat menyerahkan semula RM8 juta yang dibelanjakan kerajaan negeri untuk membaik pulih PPR di negeri Selangor.
"Masalah ini tahun lepas memang cadangan daripada KPKT yang ambil kira bukan sahaja di Selangor tetapi juga seluruh negara. Kami sedia memberi semula (pengurusan PPR) tetapi bagi balik RM8 juta yang telah kita belanjakan, kita sudah belanja RM8 juta dan kami akan beri semula pada kamu (kerajaan pusat). Tiada masalah," katanya semasa ditemui media selepas majlis sambutan hari raya bersama kakitangan awam dan meraikan kontinjen Selangor sempena Sukma 2016 di sini hari ini.
Tegasnya, cadangan mengambil alih pengurusan PPR berkenaan bukan perkara baru kerana isu berkenaan sudah dibincangkan sejak tahun lepas dalam Majlis Perumahan Negara.
Justeru, beliau menyifatkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar cuba menjadi 'hero' dengan mempolitikkan masalah melibatkan PPR di Selangor.
"Menteri yang baharu ini dia cuba tunjuk hero. Saya kesal sebab menteri yang ini dia setiap kali dia cuba main politik, sepatutnya menteri jangan main politik, fikirkan tentang kebajikan rakyat. Ini memang cadangan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) tahun lepas lagi yang mengambil kira bukan sahaja di Selangor tetapi juga di seluruh negara," tegasnya.
Jelasnya, daripada peruntukan RM8 juta berkenaan, kerajaan negeri telah membelanjakan RM3 juta untuk membaik pulih lif dan pam air pada 2012.
"Kalau dia (Noh) kata dia bagi (peruntukan pada) kita (kerajaan negeri) dan kata kami dapat duit dan sewa lagi. Tidak betul.. kerana sewa tidak dapat menampung (kos baik pulih PPR)," kata beliau.
Selain itu katanya, kerajaan negeri Selangor banyak menyelesaikan masalah-masalah yang 'ditinggalkan' kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
"Contohnya rumah-rumah kos rendah, kita telah memperkenalkan program ceria dengan membaik pulih rumah berkenaan yang dibina BN. Pada 2012 sahaja, kita sudah membelanjakan RM33 juta untuk baik pulih. Kita juga telah selesaikan 64 projek terbengkalai," tambahnya lagi.
Beliau bagaimanapun sedia berjumpa dengan menteri bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah melibatkan PPR berkenaan.
"Dulu memang kita memang selalu berjumpa dan berbincang dengan menteri sebelum ini. Namun nampaknya menteri baharu sekarang lain. Dulu boleh bekerjasama, namun sekarang 100 peratus politik. Jadi saya rasa dia (Noh) kena insaf," ujarnya.
Noh pada Selasa berkata, kementeriannya akan menghantar surat permohonan rasmi kepada kerajaan negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan dan penyelenggaraan PPR di negeri itu.
#Datuk Iskandar Abdul Samad #PPR #Projek Perumahan Rakyat
;