Beri ruang secukupnya, manfaat potensi wanita - Muhyiddin

Astro Awani
Mac 13, 2021 13:22 MYT
MUHYIDDIN: Kita seharusnya berhenti meragui potensi mereka kerana kepimpinan wanita muda sudah terbukti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua organisasi termasuk parti politik, agensi kerajaan dan swasta, digesa memberi ruang kepada golongan golongan wanita untuk berkembang dan memanfaatkan sepenuhnya potensi mereka.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, badan tersebut perlu mengenal pasti, membantu meningkatkan serta memperkasa kepimpinan wanita muda.
"Beri mereka ruang yang secukupnya untuk berkembang dan memanfaatkan sepenuhnya potensi mereka.
"Kita seharusnya berhenti meragui potensi mereka kerana kepimpinan wanita muda sudah terbukti. Justeru, memperkasakan wanita bukan sekadar memberi kata-kata yang memberangsangkan.
"Sebaliknya, memperkasakan wanita bermakna melindungi hak mereka untuk pendidikan, kebebasan bersuara dan peluang sama rata," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama forum pemimpin wanita, 'Rise 2021: Future Female Leaders Forum' bertemakan 'Women, The Key To A Brighter Future' di sini hari ini.
Hari Wanita Sedunia | Perkasa kepimpinan wanita, beri ruang tunjuk potensi
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia mengiktiraf memperkasa wanita adalah kunci kepada pembinaan negara dan ekonomi.
Katanya, golongan wanita merupakan penyumbang terbesar kepada kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat.
"Bahkan, ketika pandemik COVID-19, 70 peratus daripada kakitangan kesihatan global adalah wanita. Sumbangan mereka dalam memerangi COVID-19 cukup luar biasa.
"Ketika ekonomi negara sedang dalam fasa pemulihan, wanita memainkan peranan penting dari aspek emosi dan sokongan kewangan kepada keluarga.
"Malaysia mengiktiraf pemerkasaan wanita terutamanya dari segi sokongan kewangan," katanya lagi.
Justeru beliau memberitahu, kerajaan terus memberi sokongan kepada usahawan wanita menerusi pelbagai inisiatif.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #COVID-19 #hari wanita sedunia #sokongan #usahawan #inisiatif #kepimpinan #wanita muda #wanita #sokongan kewangan #pemerkasaan wanita #kesihatan #pendidikan #kerajaan #menteri #keluarga #politik #ekonomi #Malaysia #pandemik
;