Beri ruang pelaksanaan PBS sebelum teliti kembalikan UPSR, PT3

Bernama
Disember 30, 2022 04:30 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sistem pendidikan negara sebelum ini dilihat terlalu berorientasikan kepada peperiksaan akademik adalah bersifat 'high stake' yang memberi tekanan kepada murid serta guru. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ibu bapa diminta memberi ruang dan kepercayaan kepada pelaksanaan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) iaitu penilaian bersifat holistik untuk mengetengahkan potensi diri murid yang tidak hanya berpandukan pencapaian peperiksaan akademik semata-mata.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sistem pendidikan negara sebelum ini dilihat terlalu berorientasikan kepada peperiksaan akademik adalah bersifat 'high stake' yang memberi tekanan kepada murid serta guru.
Katanya, PBS dapat menilai murid bukan sahaja berasaskan pencapaian akademik malah merangkumi aspek pembangunan potensi diri atau proses ansur maju kanak-kanak yang tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja.
"Sistem berorientasikan peperiksaan akademik ini seolah-olah penentu 'hidup atau mati' murid yang beri kesan baik dan buruk kepada anak-anak kita.
Beri ruang kepada PBS ini dan kita lihat proses kemajuan anak-anak dalam tempoh sehingga habis kitaran PBS ini dan selepas itu kita lihat kepada (kembalikan) peperiksaan ini (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3))," katanya ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan Jumaat malam.
Katanya, PBS sedia ada masih mempunyai ujian akhir akademik namun tidak terlalu 'high stake' seperti UPSR atau PT3, malah perkara lain turut dinilai termasuk kemahiran sosial dan bakat murid.
Katanya PBS juga memberikan kebebasan atau autonomi kepada sekolah masing-masing untuk menguruskan peperiksaan berdasarkan keupayaan murid selain memberi ruang yang lebih luas kepada ibu bapa berdialog dengan guru mengenai perkembangan ansur maju anak mereka.
Sebelum ini, Fadhlina mengumumkan keputusan untuk mengembalikan semula UPSR dan PT3, bergantung kepada hasil pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 (PPPM 2025) yang akan tamat tiga tahun lagi.
Pada April 2021, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021 manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun sama.
Sementara itu, Fadhlina berkata keutamaan KPM ketika ini adalah memberi tumpuan kepada tujuh teras utama untuk dijadikan sebagai landasan dan peluncuran PPPM 2025.
"Sistem penyampaian menjadi isu utama dalam tujuh teras kita. Kedua, karamah insaniah, mempopularkan konsep murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.
Sistem penyampaian kena betul, beban guru perlu ditangani dan seterusnya mengenai keupayaan digital yang kita sedang menuju ke arah dasar digital dalam pembelajaran. Jadi kita kena siapkan prasarana dan infrastrukturnya" katanya.
-- BERNAMA
#PBS #Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek #sistem pendidikan #peperiksaan
;