Beri ruang orang muda berdikari - PM
Hakim Rahman
April 24, 2015 12:56 MYT
April 24, 2015 12:56 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata golongan tua perlu memberi ruang kepada kaum muda untuk berdikari.
Katanya orang muda pula perlu sentiasa menghormati segala nasihat dan pandangan mereka yang lebih tua kerana luasnya pengalaman mereka.
Bagaimanapun, jelas Najib, yang tua juga perlu mempertimbangkan keadaan dan cabaran yang telah berubah di arus peredaran zaman.
"Kadang kala yang tua tidak senang dengan cara orang muda sekarang yang berbeza daripada zaman mereka; betul atau salah keputusan dibuat orang muda itu terpulang kepada setiap individu untuk menilai.
“Adalah lumrah bagi yang tua bersifat melindungi terhadap yang muda.
“Namun, apabila tiba masanya untuk melepaskan yang muda untuk berdikari, maka, lepaskanlah.”
Najib berkata demikian dalam dalam mesej audio di najibrazak.com mengenai golongan tua dan muda.
Sehubungan itu, Najib berkata, Wawasan 2020 adalah sebuah visi yang sudah ditetapkan pemimpin terdahulu untuk kesejahteraan generasi masa hadapan.
Bagi mencapai cita-cita itu, Najib berkata, generasi baru perlu diberikan ruang secukupnya untuk meneruskan usaha itu.
"Susah-senang, turun-naik, pahit-manis perlu dialami sendiri oleh generasi pelapis ini kerana jiwa mereka semakin matang dan kental dalam menghadapi cabaran yang mendatang," katanya lagi.
Najib turut menceritakan mengenai bagaimana beliau melepaskan anak perempuannya kesayangannya yang baru saja selamat selamat diijabkabulkan baru-baru ini.
Katanya sebagai ibu bapa, adalah amat sukar untuk beliau melepaskan anaknya walaupun sudah dewasa.