'Beri ruang anak muda terangkan situasi sebenar negara' - Shahril Hamdan

Astro Awani
Ogos 22, 2021 19:15 MYT
Shahril Hamdan berkata, kerajaan boleh mendapat maklumat tepat dan perspektif sebenar generasi muda di negara ini dengan melibatkan semua wakil golongan itu dalam merangka sesuatu dasar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mendapatkan input daripada semua golongan muda termasuk mereka yang tidak terlibat dalam politik bagi setiap perangkaan dasar yang bakal dilaksanakan.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, ia membolehkan kerajaan mendapat maklumat tepat dan perspektif sebenar generasi muda di negara ini terutama golongan yang mengalami tekanan.
"Sebenarnya apa cabaran dalam realitinya yang orang muda lalui sekarang, dari segi pengangguran... apa sebenarnya cabaran bila minta kerja, apa cabaran bila majikan minta (mereka) bercuti tanpa gaji.
"Itu semua input yang mungkin Putrajaya tidak dapat sebelum ini. Saya tidak pasti... tetapi dalam mana-mana kerajaan (kalau terlalu berpusat dalam pusat pentadbiran), tidak sebenarnya mendapat input daripada rakyat biasa.
"Kadang kala segala intervensi itu tidak menepati sasaran atau objektif. Sebab itu misalnya, pentadbiran sebelum ini susah hendak memberi moratorium, mungkin bukan tidak mesra rakyat, tetapi mungkin mendapat input daripada Bank Negara Malaysia (sahaja) berbanding rakyat di bawah," dakwanya semasa sidang video pada Ahad.
BACA: PM ajak semua Ahli Parlimen selamatkan Keluarga Malaysia
BACA: Pergolakan politik, pertukaran PM rugikan negara dan rakyat - Ismail Sabri
'Saya akan pastikan suara anak muda didengari - 'PM
Shahril berkata, kumpulan itu wajar diberi ruang dalam jawatankuasa tertentu yang boleh memberi input kepada jemaah menteri dan kerajaan.
Ujarnya, ia akan mengimbangi pandangan pakar dan teknokrat serta menjadikan dasar yang ditetapkan kelak menjadi lebih baik.
Dalam pada itu katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaaakob dan pentadbirannya kini memegang cabaran untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan ini yang terbaik untuk mengeluarkan negara daripada krisis pandemik COVID-19.
Jelasnya, UMNO kini juga tidak boleh memberi alasan untuk mengelak daripada tanggungjawab di atas sebarang kelemahan keputusan kerajaan.
"Kalau sebelum ini kita kata UMNO tidak memimpin, sebab itu ada kelemahan sana dan sini. Sekarang ini UMNO kena menginsafi. Kita sudah memimpin, maka rakyat akan mengadili.
"Selepas satu ketika kita harap akan berubah persepsi dan imej parti dan juga kerajaan di mata rakyat, itu harapan saya secara ikhlas," jelasnya.
'Saya berikrar akan hasilkan pasukan terbaik untuk rakyat' - PM
Terdahulu, dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat sama ada di dalam atau di luar kerajaan agar menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.
Menurutnya, kesemua ahli politik harus berfikiran terbuka dan berlapang dada menerima, mencungkil persamaan serta mengenepikan perbezaan.
Di dalam ucapannya, Ismail Sabri turut memberi jaminan pentadbirannya akan mendengar dan memberi tumpuan kepada suara anak muda.
Katanya, suara dan pendapat anak muda amat diperlukan seiring usaha mencapai objektif dan fokus yang akan diberikan pentabirannya.
#Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #UMNO #Shahril Hamdan #anak muda #Belia #suara belia #dasar #Politik Malaysia
;