Beri penjelasan penutupan Mara Corporation - Hishammuddin
Astro Awani
Januari 9, 2020 19:40 MYT
Januari 9, 2020 19:40 MYT
Pihak berkepentingan harus memberikan penjelasan terperinci ura-ura penutupan Mara Corporation yang sekali gus bakal mengurangkan sumber kewangan untuk Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein menegaskan, Mara tidak dilihat mempunyai masalah untuk memberi fokus kepada pendidikan tanpa menghentikan terus kegiatan permiagaan dan pelaburan
"Tiada masalah Mara hendak tingkatkan fokus terhadap pendidikan dan latihan. Tetapi, kenapa sampai perlu hentikan terus kegiatan perniagaan dan pelaburan?
"Malah, ada ura-ura Mara Corporation juga bakal ditutup. Pihak berkepentingan mesti beri penjelasan terperinci.
"Untuk perkasakan pendidikan dan latihan tu pun perlukan dana. Takkan selepas ni MARA terpaksa harapkan Tabung Pendidikan MARA yang katanya akan ditubuhkan semata-mata? Siapa pula akan suntik dana ke dalam tabung ni? Kerajaan ke?" katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Khamis.
Sebelum ini, Pengerusi Mara, Hasnita Hashim membayangkan agensi Bumiputera itu akan menutup kegiatan-kegiatan dagangannya, di sebalik bantahan beberapa pihak terhadap rancangan menutup syarikat korporatnya, Mara Corporation Sdn. Bhd.
Dalam surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Hasnita berkata, Mara Corporation akan menutup perniagaan-perniagaan dan pelaburan-pelaburannya.
Dalam pada itu jelas Hishammuddin, sepatutnya pada masa sekarang, Mara perlu memperbanyak dan mengukuhkan lagi sumber kewangan mereka.
"Bukannya kurangkan. Ke ada arahan dari pihak tertentu?" soalnya.
Ketua Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman sebelum ini turut menggesa Putrajaya memberikan masa kepada Mara Corporation, syarikat pelaburan Majlis Amanah Rakyat, untuk menyelesaikan permasalahannya.
Tegasnya, perkembangan itu akan menjejaskan pembangunan sosio-ekonomi orang Melayu.
Nada sama diberi Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Hussein AlHabshee yang mahu Mara menghentikan tindakan menutup Mara Corporation, selain menjual aset-aset Melayu, bagi mengecilkan skop tanggungjawabnya kepada pendidikan dan keusahawanan sahaja.
Tegasnya, Mara sepatutnya memperkasa Mara Corp dan bukannya mengambil jalan mudah dengan menutupnya.
#Amanah
#Bumiputera
#ekonomi
#Mahathir Mohamad
#MARA
#Melayu
#Parlimen
#pelaburan
#pendidikan
#Putrajaya
#rakyat