Beri peluang OKU asah bakat, ceburi bidang diingini - Ras Adiba

Bernama
Mac 10, 2022 04:00 MYT
Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata Malaysia bukan negara kebajikan, namun kerajaan begitu prihatin dan cuba sedaya-upaya membantu serta menyokong komuniti OKU. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu diberi peluang antaranya dari segi pekerjaan, menceburi bidang yang dikehendaki serta mengasah bakat mereka dan bukanlah bantuan kewangan semata-mata.
Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata Malaysia bukan negara kebajikan, namun kerajaan begitu prihatin dan cuba sedaya-upaya membantu serta menyokong komuniti OKU.
"Namun OKU itu sendiri mesti mahu untuk keluar dari kepompong...usah kita fikir kita ini tidak boleh melakukan itu ini (sesuatu perkara), tidak boleh begitu.
"Semuanya ada dalam tangan kita, kita boleh buat apa sahaja yang kita mahukan, OKU ataupun bukan OKU," katanya pada program Hendak Seribu Daya, OKU Luar Biasa yang bersiaran secara langsung di laman Facebook, pada Khamis.
Beliau berkata masyarakat perlu berfikiran terbuka apabila ingin memberi peluang kepada komuniti OKU kerana golongan itu mungkin berdepan halangan 1,000 kali ganda (lebih sukar) berbanding individu bukan OKU.
Justeru, Ras Adiba menyarankan masyarakat memberikan peluang kepada OKU untuk menjadi diri mereka sendiri kerana setiap daripada mereka adalah luar biasa dan mempunyai bakat berbeza.
"Kita (OKU) sendiri mesti mahukan perubahan itu, jadi masyarakat sekeliling berikanlah kami peluang untuk kami belajar, berdikari, berniaga, berikan hak kami yang saksama sebagai OKU di bawah Akta OKU 2008," kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu.
Selain itu, beliau turut menasihati ibu bapa supaya mendaftarkan anak-anak OKU mereka dan mendapatkan kad OKU, ekoran masih ramai yang tidak berbuat demikian.
"Apabila kita (ibu bapa) tiada, bagaimana dengan anak-anak kita? Kita tidak boleh memikirkan diri kita sahaja," katanya.
-- BERNAMA
#OKU #Orang Kurang Upaya #orang kelainan upaya #Ras Adiba Radzi #asah bakat
;