Beri peluang kedua, kesilapan lalu bukan tiket terus menghukum

Bernama
Mei 9, 2023 08:30 MYT
Masyarakat harus memain peranan dengan memberi ruang dan peluang untuk mereka menyumbangkan sesuatu dalam komuniti serta meneruskan kehidupan normal. - Gambar hiasan
KAJANG: Stigma negatif yang dilempar kepada bekas banduan menyebabkan golongan ini sering disisih masyarakat sedangkan mereka telah pun menerima hukuman setimpal atas kesilapan lampau.
Pengarah Penjara Kajang Mohd Roslen Ramli berkata sikap masyarakat yang berterusan menghukum menyebabkan ada dalam kalangan mereka sukar berubah, malah ada juga kembali terjerumus kepada tabiat lama atau bergaul dengan rakan-rakan sepenjenayah dahulu.
"Ya, mereka pernah melakukan kesalahan sehinggakan dipenjara, tetapi itu bukan tiket kepada kita untuk terus menghukum mereka. Sikap seperti inilah yang boleh membuatkan seseorang itu masuk semula ke penjara.
"Misalnya jika seseorang bekas banduan itu yang pernah dijatuhi hukuman penjara akibat mencuri dan telah pun dibebaskan, masyarakat masih berterusan meminggirkannya menyebabkan dia berisiko terjerumus semula dalam kegiatan mencuri.
"Di sini (Penjara Kajang) memang terdapat mereka yang keluar masuk penjara kerana mengulangi kegiatan lama," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Penjara Kajang, di sini baru-baru ini.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Penjara tidak pernah putus asa untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya memberi peluang kedua kepada bekas penghuni tirai besi ini dan menerima mereka kembali terutama bagi mendapatkan pekerjaan agar dapat mencari rezeki yang halal.
Jelas Mohd Roslen sepanjang berada di penjara, setiap banduan menjalani proses rawatan dan pemulihan termasuk mencakupi aspek kerohanian.
"Selain itu, mereka turut diberikan latihan dan kemahiran tentang sesuatu bidang kerjaya. Oleh itu, masyarakat harus memain peranan dengan memberi ruang dan peluang untuk mereka menyumbangkan sesuatu dalam komuniti serta meneruskan kehidupan normal," katanya
Mohd Roslen berkata dalam memberikan keyakinan masyarakat, pihak penjara turut memberikan golongan banduan ini kemudahan seperti komputer dan akses internet untuk menyambung pelajaran dalam pelbagai peringkat daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga tahap Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Mohd Roslen berkata dalam zaman serba mencabar ini, pihak penjara menyedari bahawa kemahiran seperti jahitan serta perkhimatan dobi semata-mata yang diperoleh di dalam penjara tidak mencukupi dan menyukarkan mereka untuk dapatkan pekerjaan lebih baik setelah dibebaskan.
"Oleh itu, para banduan ini digalakkan menyambung pelajaran dalam sesuatu bidang yang bukan sahaja akan meningkatkan peluang mereka untuk mendapat pekerjaan, tetapi juga meyakinkan bukan sahaja diri sendiri serta keluarga dan masyarakat luar sana," katanya.
-- BERNAMA
#bekas banduan #stigma negatif #penjenayah #penjara
;