Beri peluang generasi baharu memimpin kerajaan - Dr Hussamuddin

Astro Awani
Januari 12, 2021 09:00 MYT
Dr Hussamuddin menjelaskan, semua pihak perlu memberikan bantuan kepada generasi baharu itu dan bukan menghalang mereka untuk mencapai kejayaan. - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Generasi baharu perlu diberi peluang untk memimpin organisasi, parti atau kerajaan, kata Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf itu menjelaskan, semua pihak perlu memberikan bantuan kepada generasi baharu itu dan bukan menghalang mereka untuk mencapai kejayaan.
"Pegang tangan mereka, pimpin dan lihat dari belakang semasa mereka mendaki. Jujur dan bantu jika mereka ada kesilapan. Ini masa mereka.
"Kamu tidak tahu kemampuan mereka sehingga diberi peluang. Undur ke belakang dan beri mereka jalan untuk memintas. Berikan mereka baton.
"Ini masa mereka untuk mencorak masa depan. Biarkan mereka bergerak, kita berhutang kepada mereka. Beri kepercayaan kepada mereka. Masalah semasa memerlukan penyelesaian daripada mereka," katanya.
Dr Hussamuddin sendiri memulakan Karangkraf 43 tahun dahulu sehingga kemuncaknya pada 2013 dengan pulangan jualan setengah bilion ringgit.
Pada masa itu katanya, kekuatan 1,500 kakitangannya benar-benar mencatatkan keuntungan kepada syarikat sebelum mengalami kerugian pada 2013.
Bagaimanapun ujarnya, tahun 2020 memberi dimensi baharu kepada syarikat itu.
Mereka membenarkan generasi kedua yang lebih muda namun berpengalaman untuk mengurus syarikat.
Kata Dr Hussamuddin, mereka lebih memahami denyut pasaran dan mengubah cara pemasaran produk serta jualan agar menjadi lebih relevan dengan keadaan semasa.
Tambahnya, kumpulan pengasas tidak terlalu mempengaruhi cara perniagaan masa kini dan ia memberikan hasil positif kepada syarikat mereka.
Paling penting katanya, berhenti dari mengungkit kegemilangan masa silam serta beranggapan cara diri sendiri adalah yang terbaik dan tiada orang yang lebih baik.
Tegasnya, masa sudah berubah, cara pemikiran sudah berlainan serta keutamaan masing-masing juga sudah berbeza dari sebelumnya.
#Karangkraf #pasaran #ringgit #kerajaan #generasi baharu
;