Beri Najib peluang memimpin negara - Idris

Astro Awani
April 7, 2015 22:05 MYT
IDRIS: Beri Najib peluang memimpin negara. -Gambar fail
Semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerajui negara yang kini berdepan situasi ekonomi tidak menentu.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Haron berkata, rakyat tidak seharusnya menuding jari sekiranya terdapat kelemahan pentadbiran di bawah kepimpinan Najib sehingga mendesak pemimpin itu berundur.
"Seharusnya semua perlu bersatu mengembalikan kekuatan supaya negara terus seimbang membangun.
"Kritikan secara terbuka oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melahirkan rasa kecewa terhadap kepimpinan Najib dilihat hanya memburukkan lagi keadaan," katanya di sini hari ini.
Jelasnya yang juga Ketua Menteri Melaka, Najib harus diberi peluang untuk mentadbir dan memimpin dalam keadaan sukar negara kini.
"Masa sukar juga apabila kita ambil semula tempoh lima tahun pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
"DIa juga berhadapan dengan tetangan dari berbagai pihak termasuk dicabar Tengku Razaliegh pada tahun 1986, lima tahun dia menjawat jawatan perdana menteri nasib baik menang dengan majoriti yang tipis," jelasnya.
Idris turut beranggapan Najib akan berjaya menerajui negara secara berkesan biarpun ketika ini didesak dari pelbagai pihak untuk berundur daripada jawatannya.
"Isu-isu dimainkan pelbagai pihak seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk mendesak pemimpin itu berundur juga tidak seharusnya berlaku biarpun Najib sudah mengumumkan tiada sebarang pembelaan daripada kerajaan jika terdapat pihak yang pecah amanah.
"Tindakan melakukan pengauditan secara bebas dan menyeluruh ke atas akaun 1MDB dilaksanakan oleh Ketua Audit Negara sebelum laporan mengenai itu akan diperincikan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bagi merungkai persoalan dilemparkan pembangkang dan dalam media sosial," ujarnya.
Katanya lagi, sepanjang Najib memimpin negara, pelbagai cabaran diberikan dan Perdana Menteri bijak menghadapinya.
"Kita jangan hanya pandai menuding jari tetapi perlu melihat situasi dan mengkaji kelemahan secara bersama untuk mengembalikan kekuatan.
"Berilah peluang kepada Najib untuk memimpin bagi menjadikan negara dalam keadaan lebih baik," katanya.
#berundur #ekonomi tidak menentu #idris #Mahathir #najib #UMNO
;