Beri lebih ruang anak muda dalam Dewan Rakyat, Dewan Negara - MBM
Fareez Azman
Ogos 23, 2021 18:10 MYT
Ogos 23, 2021 18:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan ruang penglibatan anak muda lebih terbuka dalam Dewan Rakyat serta Dewan Negara dengan pelantikan lebih ramai menteri serta senator.
Menurut Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, langkah itu adalah tindakan realistik selaras dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Ahad.
"Antara tindakan, kita pastikan bahawa menteri-menteri dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen muda atau Ahli Dewan Negara yang masih muda.
"...sekurang-kurangnya tiga hingga empat individu yang berkelayakan kerana mereka memahami aspirasi dan tergolong dalam kumpulan anak muda.
"Kedua kita lihat lantikan Ahli Dewan Negara... kita perlukan banyak cohort (kumpulan) anak muda berusia antara 30 hingga 40 tahun yang (sebelum ini) dilihat kurang di Dewan Negara," jelasnya ketika ditemu bual Astro AWANI.
'Saya akan pastikan suara anak muda didengari - 'PM
Tambah Jufitri, MBM pernah mencadangkan kepada pentadbiran terdahulu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan penasihat muda kepada Perdana Menteri.
Justeru jelasnya, jika Ismail Sabri dapat merealisasikan perkara itu, beliau yakin kerajaan baharu ini akan berjaya memulihkan semula negara dengan bantuan anak muda.
"Inilah peluang sebenarnya yang perlu diambil untuk mereka memberi sumbangan secara aktif," katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun sumbangan golongan muda tetap boleh diberikan tanpa penyertaan di dalam Kabinet.
"Ada banyak ruang awam yang harus kerajaan jamin kebebasan untuk mereka bersuara dan kita sarankan pihak kerajaan jangan takut suara kritis, memang itu nature anak muda.
"Raikan, santuni dan anggap ini sebagai patriotisme yang konstruktif, walaupun mereka kritis tapi mereka sayang kepada negara kalau kerajaan dengar suara mereka. Tangani dan berikan perhatian, saya yakin kredit akan dapat kembali kepada kerajaan dan anak muda lega dengan masa depan mereka," katanya lagi.
Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri pada petang Ahad memberi jaminan suara anak muda akan didengari dan diberikan tumpuan dalam Agenda Pemulihan Negara.
Panggilan Video | Bagaimana tingkatkan suara & kuasa belia dalam kerajaan?