Beri lebih perhatian kepada mereka yang alami gejala kemurungan - Syed Saddiq
Firdaus Azil
Mei 17, 2019 21:45 MYT
Mei 17, 2019 21:45 MYT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui beliau pernah mengalami tekanan dan kemurungan, akan tetapi bernasib baik kerana mendapat sokongan berterusan dari keluarga dan rakan-rakan rapat.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, tidak semua golongan remaja mempunyai nasib yang baik, dan atas sebab itu, perlu bagi kesemua pihak menyokong sebarang usaha mewujudkan wacana intelektual di peringkat nasional bagi membincangkan isu berkenaan dengan lebih mendalam.
Saranan itu dibuat beliau susulan negara dikejutkan dengan tragedi remaja berumur 16 tahun di Sarawak yang mengambil keputusan drastik membunuh diri baru-baru ini.
“Perlu perbincangan yang agak serius di antara menteri-menteri kabinet supaya isu kesihatan mental diambil dengan serius.
"Sebab, ini merupakan isu yang merangkumi banyak kementerian. Bukan sahaja kementerian belia dan sukan, malah kesihatan, pendidikan, wanita dan keluarga. Dan jemaah menteri menitikberatkan pentingnya untuk kita pastikan isu kesihatan mental ini diambil dengan serius.
“Saya agak yakin national discourse atau perbincangan secara terbuka dan jujur berkenaan kesihatan mental ini dapat dilakukan dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Youth Mental Health Dialogue: Are You Okay di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini, hari ini.
Baru-baru ini seorang remaja 16 tahun merealisasikan undian netizen yang mengundinya untuk "mati" dengan terjun bangunan di tingkat tiga sebuah rumah kedai di Bandar Baru Batu Kawah dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan dilaporkan sebagai berkata, gadis itu membuat undian tersebut melalui akaun Instagram, di mana 69% memilih “D” yang membawa maksud “death”.
Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, adalah penting untuk mengesan sebarang tanda-tanda kemurungan lebih awal, kerana dikhuatiri ia akan berakhir dengan tragedi jika tiada sebarang tindakan awal dibuat.
“Paling asas ialah rakan-rakan dan keluarga perlu sentiasa mendengar masalah dan kegusaran individu itu. Jangan sesekali mengenepikan mereka, dan jika perlu, terus mendapatkan bantuan melalui platform rasmi,” katanya lagi.
#bunuh diri
#Islam
#kabinet
#Kemurungan
#kesihatan
#kesihatan mental
#mati
#Menteri Belia dan Sukan
#Padawan
#Parlimen
#pendidikan
#polis
#remaja
#Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
#tekanan
#undian Instagram
#wanita