Beri lebih peluang belia dalam politik - Ahmad Zahid

Wan Syamsul Amly
Mei 15, 2016 08:56 MYT
AHMAD ZAHID: Pembangunan belia dan peremajaan negara perlu disegerakan selain inisiatif bahawa kreativiti dan bakat perlu dipelihara dan diserlahkan. -Gambar fail
Belia perlu diberi lebih peluang dalam politik sekali gus membuka lebih banyak tempat untuk golongan itu di dalam pentadbiran negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia harus disambut dengan komitmen dan kerja keras untuk memastikan hasrat itu tercapai.
"Peluang mesti diberi kepada pemimpin belia dalam politik dan peluang sebaiknya dalam kepimpinan negara.
"Kita harap ia disambut komitmen dengan bentuk kerja kuat. Kita tidak mahu ada perbezaan daripada segi agama dan budaya; belia hanya satu sahaja iaitu belia Malaysia," katanya semasa berucap pada perasmian Hari Belia Negara (HBN) 2016 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin.
Tema HBN tahun ini ialah 'The Future is Now' membawa maksud pembangunan belia dan peremajaan negara perlu disegerakan selain inisiatif kepada belia bahawa kreativiti dan bakat adalah sesuatu yang perlu dipelihara dan diserlahkan.
Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid, kerajaan melihat pindaan takrifan umur belia kepada 15 sehingga 30 tahun dalam Dasar Belia Malaysia (DBM) membuka lebih ramai peluang pelajar lepasan sekolah untuk terlibat dalam aktiviti belia.
Jelas Ahmad Zahid lagi, pihaknya juga akan mencadangkan penyaluran peruntukan sebanyak RM500 juta untuk Tabung Usahawan Belia yang akan dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Kita tahu beberapa perubahan dilakukan KBS termasuk menentukan indeks belia. Hari ini saya rasakan ia memerlukan pendekatan baharu dan indeks belia akan menjadi penanda aras," ujarnya.
Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta setahun untuk 2016 dan 2017 bagi program pembangunan belia.
Pada majlis sama, Pertubuhan Gerakan Belia 4B Kawasan Baling, Kedah menjadi johan Anugerah Perdana Belia Negara Kategori Pertubuhan.
Selain itu, Anugerah Perdana Belia Negara kategori lelaki dimenangi Pengerusi Tetap MBM, Mohd Syahbuddin Hashim dan bagi kategori wanita dimenangi Ketua Wanita Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia, B.Vanita.
#Ahmad Zahid Hamidi #Belia #belia Malaysia #Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin #The Future is Now