"Beri laluan generasi muda memimpin jika mahu legasi Tun Razak diteruskan"
Haider Yutim
Januari 15, 2015 12:00 MYT
Januari 15, 2015 12:00 MYT
Lebih banyak peluang harus diberikan kepada generasi muda untuk menerajui kepimpinan jika mahu legasi Allahyarham Tun Razak Hussein diteruskan, kata panelis pada forum ‘Memperingati Tun Razak’ pada Rabu.
Menurut ketua pengarang The Malaysian Insider, Jahabar Sadiq, kini legasi itu hilang kerana kehidupan golongan muda dilihat terlalu bergantung kepada kerajaan.
“Tun Razak membuatkan generasi muda pada zamannya percaya bahawa mereka boleh mentadbir negara,” kata beliau.
Katanya Tun Razak, telah mengambil orang-orang muda tersebut dan meletakkan mereka di pelbagai peringkat pentadbiran dalam kerajaan.
Ini termasuk melantik Tun Hanif Omar sebagai Ketua Polis Negara yang keempat pada usia 35 tahun menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang telah terbunuh akibat serangan komunis.
“Tun Razak telah meninggalkan legasi bahawa generasi muda perlu yakin,” katanya.
Bagaimanapun kata Jahabar, pada masa kini kerajaan kurang menaruh kepercayaan kepada golongan ini dan ini merupakan satu masalah.
Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai (PKR), Nurul Izzah Anwar, Tun Razak ketika zaman kepimpinannya banyak mengambil masa untuk mendekati golongan muda.
Katanya sebagai contoh, ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan pelajar yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), telah didekati oleh Tun Razak yang mengajaknya untuk menyertai Umno.
“Seorang pemimpin telah mengambil masa untuk berjumpa dengan pelajar dan ini suatu yang amat penting,” katanya pada forum tersebut.
Selain itu, Nurul turut memuji langkah Tun Razak yang mencetuskan perdamaian di antara parti termasuk Umno, Pas, PPP dan Gerakan menerusi penubuhan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1973.
Sementara itu, ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata Tun Razak sendiri pada masa itu merupakan pemimpin muda di mana beliau telah menjadi Perdana Menteri pada usia 47 tahun.
“45 peratus golongan muda merupakan mereka yang berumur 25 tahun dan saya rasa inilah masanya untuk generasi muda Malaysia membuktikan bahawa mereka boleh memainkan peranan yang lebih besar, dan bukannya lebih kecil,” katanya.
Turut hadir pada forum sempena 39 tahun pemergian Tun Razak itu ialah bekas setiausaha politiknya dan tokoh Umno, Tan Sri Abdullah Ahmad.
Tun Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kedua yang juga dikenali sebagai 'Bapa Pembangunan' Malaysia.
Allahyarham telah menerajui negara sebagai Perdana Menteri dari 22 September 1970 hingga 14 Januari 1976.
Allahyarham yang merupakan bapa kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak meninggal akibat penyakit leukemia.