AS beri komitmen penuh kepada Malaysia perangi jenayah pemerdagangan orang - Duta Besar AS
Fareez Azman
Julai 29, 2021 19:47 MYT
Julai 29, 2021 19:47 MYT
KUALA LUMPUR : Amerika Syarikat (AS) akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam mendukung pendekatan menyeluruh memerangi sindiket pemerdagangan orang.
Demikian jelas Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D. McFeeters, ketika melancarkan program Anti Trafficking Capacity Building for Impact (CBI) secara dalam talian pada Khamis, bersama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Mohamad Fauzi Md Isa.
"Pada pandangan saya, sangat penting untuk kita tekankan langkah yang diambil oleh AS dalam membendung jenayah pemerdagangan orang secara global. Sejajar dengan apa yang diinginkan oleh Presiden AS, Joe Biden, iaitu setiap kedutaaan mempunyai pasukan tersendiri untuk menangani isu ini.
"Bagi tujuan itu, pihak kedutaan AS akan menjalinkan kerjasama dengan pihak dari negara-negara yang terbabit.
"AS berjaya menangani isu ini, tetapi masih ada masalah yang perlu diselesaikan. Kunci kejayaan adalah ia perlu melibatkan masyarakat awam, agensi penguatkuasa dan undang-undang sebagai satu pasukan dalam menangani isu ini," jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad Fauzi pula berpendapat, iniasitif yang diambil dengan kerjasama ENGENDER Consultancy dan Project Liber8, KDN dan Kedutaan Besar AS itu dapat membantu mencapai pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NATIP 3.0) oleh kerajaan.
"Modul program ini relevan, terkini dan menyeluruh, serta menggabungkan 4P (Pencegahan / Perlindungan / Pendakwaan / Perkongsian) apabila memerangi jenayah pemerdagangan orang.
"Kerajaan Malaysia menyedari banyak kerjasama baik yang akan dilakukan bersama rakan CSO/NGO kami untuk memastikan kejayaan pelaksanaan NAPTIP 3.0 pada tahun-tahun mendatang," jelasnya.
Program atas inisiatif impak sosial oleh ENGENDER Consultancy dan Project Liber8 itu bertujuan untuk membangunkan rangkaian organisasi masyarakat sivil dalam memerangi pemerdagangan orang melalui tindakan dan pembelajaran kolektif.
Dalam pada itu, menurut wakil projek daripada ENGENDER, Omna Sreeni-Ong berkata, inisiatif itu menggunakan pendekatan seluruh negara untuk menyokong dan mempercepat pelaksanaan NAPTIP 3.0.
Ia merangkumi acara kempen untuk orang ramai di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu bagi membina kesedaran akar umbi mengenai pemerdagangan orang, seterusnya memupuk pemahaman bahawa pentingnya jenayah itu dibanteras.
#sindiket
#jenayah
#pemerdagangan orang
#Amerika Syarikat
#Malaysia
#duta besar AS
#Brian D McFeeters
#anti-trafficking
#KDN
#Mohamad Fauzi Md Isa
#ENGENDER Consultancy
#project liber8
#Omna Sreeni-Ong