Beri keutamaan promosi produk kerajaan - Dr Wan Azizah

Wan Syamsul Amly
Februari 7, 2019 06:30 MYT
DR WAN AZIZAH: Untuk promosi produk, kita tidak buat untuk swasta. Namun, saya rasa Syed Saddiq telah memberi jawapan bahawa dia hanya mahu membantu. - Gambar fail
Ahli Kabinet perlu memberi keutamaan kepada usaha mempromosikan produk-produk keluaran kerajaan berbanding swasta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun berkata tidak menjadi kesalahan jika mana-mana menteri mahu membantu mempromosikan produk keluaran swasta.
"Untuk promosi produk, kita tidak buat untuk swasta. Namun, saya rasa Syed Saddiq telah memberi jawapan bahawa dia hanya mahu membantu.
"Macam saya, semasa pergi ke luar negara, saya akan membawa kraf tangan Malaysia untuk membantu promosi produk negara kita secara keseluruhan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis perasmian Tasputra Perkim di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, pemilik jenama Hausboom, Azri Zahier Azmi melalui akaun Facebooknya mendakwa Kementerian Belia dan Sukan menjanjikan promosi produknya termasuk di Instagram Syed Saddiq, namun tidak ditunaikan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam reaksi balas melahirkan rasa kecewa atas tuduhan yang dibuat sedangkan beliau telah membawa produk usahawan tempatan memasuki rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven.
BACA: 'Saya bantu dia, tapi dia caci saya' - Syed Saddiq kecewa dicerca usahawan muda
Tidak mahu memanjangkan isu, Syed Saddiq mengeluarkan arahan membayar semula kos penajaan yang dikeluarkan usahawan berkenaan.
Azri Zahier dalam satu lagi posting memohon maaf kepada Syed Saddiq atas kekasaran bahasanya.
BACA: Pemilik Hausboom mohon maaf atas kekasaran bahasa, tapi tegaskan isu utama
#Hausboom #Instagram #kabinet #kerajaan #Parlimen #Wan Azizah