Beri kepercayaan belia ambil tanggungjawab lebih besar bangun negara-bangsa - Sultan Perak
Abd Razak Mohd Ali
Mac 28, 2022 13:37 MYT
Mac 28, 2022 13:37 MYT
IPOH: Golongan belia wajar diberi lebih kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara-bangsa.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, belia adalah aset negara yang berharga.
Titah baginda, 28 peratus penduduk Malaysia adalah belia dan 7.8 juta daripada mereka bertaraf pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Para belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara-bangsa yang bersatu dan berpadu, maju lagi makmur.
“Penglibatan para belia secara aktif akan dapat membantu untuk meremajakan dasar yang telah tua, meniup pembaharuan kepada struktur yang telah lama, dan menyuntik darah muda kepada tubuh yang telah berusia,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-14 di sini, pada Isnin.
Sultan Nazrin bertitah, langkah yang dirintis Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak melibatkan belia dalam majlis itu dan Jawatankuasa Baitulmal di pelbagai peringkat di samping Jawatankuasa Masjid hendaklah diperluaskan dalam pelbagai jawatankuasa di peringkat negeri, kerajaan tempatan, badan berkanun, institusi dan yayasan.
Baginda menyifatkan, pendekatan kerajaan negeri yang melibatkan belia dan menyediakan saluran untuk golongan itu menyalurkan idea dan menyuarakan pandangan sebagai langkah bijak lagi membina.
Titah baginda lagi, isu-isu bersifat objektif dan idea-idea konstruktif yang disuarakan di dalam Persidangan Dewan Belia wajar diberikan perhatian.