Beri kad warga asing, GRS jangan membisu - Wirawati Warisan
Astro Awani
Februari 11, 2022 11:51 MYT
Februari 11, 2022 11:51 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Warisan (Warisan) mempertikai cadangan kerajaan untuk mengeluar sekali gus memberi kad warga asing kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.
Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, sebelum ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membantah habis-habisan pelaksanaan pas sementara Sabah (PSS) kepada warga asing.
Namun katanya, kini GRS dilihat membisu apabila Kerajaan Pusat mencadangkan untuk mengeluarkan dokumen sama.
"Adakah kad ini (kad warga asing) membolehkan warga asing memperolehi kewarganegaraan melalui proses naturalisasi?
"Apakah pendirian GRS tentang pengwujudan kad warga asing sebagai dokumen pengenalan diri bagi warga asing yang tinggal lama di Sabah?
"Semasa Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), rakyat Sabah telah diberitahu bahawa sekiranya pihak pembangkang kerajaan negeri (pada masa itu) diberikan mandat, “kumpit” (pendatang asing tanpa izin) akan dihantar kembali ke Negara asal," katanya dalam kenyataan di sini.
Tambah Jo-Anna, isu PATI masih lagi berleluasa hingga sekarang hingga kelihatan di bandar dan kampung.
Lebih setahun mentadbir kerajaan Sabah, katanya, rakyat Sabah masih menunggu dan tertanya-tanya akan tindakan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, juga meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pendirian kerajaan negeri selain tindakan susulan mengenai cadangan pengeluaran kad warga asing itu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan kad warga asing sebagai dokumen pengenalan diri untuk golongan itu yang tinggal lama di Sabah termasuk kanak-kanak.
Menyambut baik cadangan Kerajaan Sabah itu, Hamzah berkata, pemberian kad ini akan membolehkan semua pihak dan agensi mengenal pasti taraf seseorang itu terutama di Sabah.