Beri Israel tekanan dalam semua medium - Wanita UMNO

Astro Awani
Mei 17, 2021 21:44 MYT
Norliza berkata, semua pihak perlu terus bersatu hati menentang perlanggaran undang-undang antarabangsa dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin. - Foto: Wanita UMNO
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dan masyarakat dunia perlu memberi tekanan kepada Israel melalui semua medium termasuk undang-undang, politik dan ekonomi.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, semua pihak perlu terus bersatu hati menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan tindakan yang tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin.
"Palestin juga punyai hak untuk hidup dengan aman dan tenteram. Berikan pembebasan dan kemerdekaan kepada Palestin, wilayah yang diduduki dan Semenanjung Gaza.
"Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) wajar memberi tekanan kepada Israel terhadap serangan yang tidak berperikemanusian dan mencabuli hak kemanusiaan di zaman maju masa kini. Ini merupakan tindakan terkutuk dan keji terhadap sebuah negara dan manusia yang bernyawa.
"Rejim Zionis wajib dipertanggungjawabkan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pihak berkecuali dan berautoriti wajar melakukan intervensi terhadap Israel dan menyelamatkan bumi Palestin dari perbuatan kejam mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
BACA: Malaysia kecewa Majlis Keselamatan PBB gagal kutuk serangan Israel - Hishammuddin
BACA: Konflik Israel-Palestin: Ashaq jadi tumpuan Siti Nurhaliza, Sheikh Muszaphar
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB kerana gagal mengutuk serta menggesa keganasan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan.
Katanya, walaupun sudah memasuki sesi ketiga Majlis Keselamatan PBB, namun badan dunia itu masih belum membuat satu kenyataan mengenai situasi semasa di Palestin.
Dalam pada itu Norliza turut mengecam tindakan Israel yang menyerang Palestin atas alasan mempertahankan diri.
"Tindakan ini amat keterlaluan dan melanggar undang-undang antarabangsa dan Persidangan Geneva.
"Lebih mendukacitakan apabila kita dikejutkan dengan serangan kepada salah seorang pengamal media yang membuat liputan di bumi Palestin untuk melaporkan perkembangan terkini ketegangan di antara Israel dan Palestin.
"Muath Armaneh, seorang jurugambar ditembak di mata oleh tentera rejim, beliau ang sedang bertugas dan memakai jaket yang jelas tertera 'PRESS' sewajarnya tidak dijadikan sebagai sasaran peluru rejim yang dahagakan kemenangan," tegasnya.
Katanya lagi, ia jelas bertentangan dengan Undang-Undang Antarabangsa (IHL) di mana petugas media ditakrifkan sebagai non-combatant yang mana bukan sasaran dalam apa jua konflik mahupun peperangan.
"Rejim itu juga bertindak membedil bangunan yang menempatkan biro media asing di Semenanjung Gaza.
"Ketegangan itu telah mengorbankan 197 jiwa, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita yang tidak bersalah sehingga hari ketujuh serangan ke atas Palestin," ujarnya.
#UMNO #PBB #UNSC #Islam #Israel #Gaza #Zionis #Wanita UMNO #Norliza Abdul Rahim #oic
;