'Beri insentif syarikat sanggup naik kos penggajian' - Azwan Bro

Wan Syamsul Amly
Februari 20, 2016 20:30 MYT
AZWAN BRO: Beri insentif syarikat sanggup naik kos penggajian' - Gambar fail
Kerajaan dicadang memberikan insentif kepada syarikat-syarkat yang sanggup menaikkan kos penggajian tenaga buruh mereka ke tahap lebih tinggi daripada sekarang.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, ia sekali gus dapat memberi insentif lebih menarik anak-anak tempatan untuk menyertai syarikat yang berjaya mendapat tender besar daripada kerajaan.
"Fokusnya mengisi kekosongan pekerjaan dalam sektor 3D (Dirty, Difficult and Dangerous) serta peluang pekerjaan dan pendapatan khususnya kepada generasi muda. Kerana itu kerajaan mesti memberi keutamaan kepada pengambilan pekerja dan tenaga kerja anak tempatan dalam kumpulan kolar biru berkemahiran pada projek meja kerajaan dan ia akan meningkatkan kualiti pekerja sektor binaan yang berada di dalam kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
"Saya juga minta kesungguhan daripada pihak swasta dan syarikat yang mendapat tender tersebut. Saya cadangkan agar kos penggajian pekerja dan buruh oleh syarikat berkenaan pada kadar 34 peratus kini dipertingkatkan.
"Angka itu jauh berbanding kejayaan syarikat ini di negara maju seperti Singapura dan Norway yang membayar gaji pekerja pada kadar hampir 50 peratus daripada jumlah pendapatan mereka," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
BACA: Industri '3D': Tenaga tempatan perlu diberi latihan, gaji setimpal - MTUC
BACA: Isu rasis dan '3D': 'Malaysia, di manakah budi bahasa kita?' - Syed Saddiq
BACA: Pekerjaan '3D': Industri tidak mampu, gaji rendah berterusan - Khairy
Khairul Azwan mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan penangguhan pengambilan semua pekerja asing dari negara sumber berkuat kuasa serta merta.
Katanya, penangguhan itu turut melibatkan pengambilan pekerja dari Bangladesh.
Dalam pada itu jelas Khairul Azwan, syarikat swasta yang mengiklankan peluang pekerjaan di akhbar, internet dan medium lain agar memaparkan gaji yang ditawarkan sebagai bentuk saingan mencari calon terbaik kepada mereka.
"Kalau pencari kerja itu perlu bersaing, apa salahnya majikan juga mesti bersaing untuk mencari pekerja terbaik.
"Jadi majikan perlu memaparkan gaji yang bakal diterima pekerja baharu mereka kelak sebagai bentuk persaingan mereka," katanya.
Ahmad Zahid pada Jumaat turut menyarankan majikan agar lebih mengutamakan pekerja tempatan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam syarikat mereka.
Ahmad Zahid juga menyeru golongan belia supaya mengisi kekosongan pelbagai kekosongan kerja sedia ada selain menyahut seruan kerajaan untuk mengambil-alih tempat semua pekerja asing dan menjadi tenaga kerja utama di negara ini untuk pembangunan ekonomi negara.
#Khairul Azwan Harun #pekerja asing #TVET #UMNO
;