Beri galakan kepada usahawan buku, bantu usaha perkasa bangsa - Noh Omar
Madiha Abdullah
Jun 12, 2022 04:00 MYT
Jun 12, 2022 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Usahawan buku perlu diberi galakan bagi membolehkan usaha memperkasakan bangsa melalui buku dapat diteruskan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, golongan ini perlu diberi ruang meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam memacu negara menjadi negara membaca.
"Saya memetik kata-kata Perdana Menteri, iaitu kegagalan kita mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejaskan dan menghancurkan usaha kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya, tetapi juga membunuh industri buku dan karyawannya.
"Oleh itu, saya yakin usahawan perbukuan sama ada baharu atau lama, perlu diatur gerak agar mereka terus berdaya saing meneroka peluang baharu dan menambah baik peluang sedia ada," katanya ketika merasmikan majlis penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Ahad.
Tambahnya, kerajaan terutama di bawah kementeriannya, akan terus menyokong usaha yang dilakukan sektor perbukuan, dan agensi seperti SME Bank dan Bank Rakyat, sedia membantu usahawan.
Beliau juga menjemput usahawan buku termasuk penulis, penerbit dan pencetak, untuk duduk bersama membincangkan bentuk bantuan yang lebih komprehensif yang boleh diberikan kerajaan.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bermula 4 Jun lalu dan berakhir hari ini, berjaya menarik lebih 900,000 pengunjung.