'Beri gaji setimpal, barulah belia tempatan boleh rebut peluang' - Perdasama
Astro Awani
Februari 22, 2016 18:35 MYT
Februari 22, 2016 18:35 MYT
Persatuan Perdagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) meminta kerajaan untuk membuat penyusunan semula yang terbaik terutamanya dalam hal kemasukan pekerja asing ke negara ini.
Presidennya, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, ini penting bagi membolehkan belia tempatan mendapat pengalaman dan kemahiran sewajarnya seiring dengan keperluan industri.
"Kerajaan juga diharapkan dapat menganjurkan program secara besar-besaran dengan kerjasama pihak majikan bagi menarik khususnya belia negara untuk merebut peluang pekerjaan dalam bidang diperlukan oleh industri," katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya, majikan juga perlu membuat penstrukturan semula gaji agar ia lebih setimpal dengan keperluan pekerja tempatan.
"Negara sebenarnya memerlukan peningkatan dalam kualiti syarikat perniagaan yang beroperasi di Malaysia yang bersedia menawarkan gaji yang lebih setimpal, jika tidak kita akan terus dilanda fenomena kebanjiran pekerja asing," katanya.
Moehamad Izat turut menegaskan bahawa pergantungan kepada pekerja asing bakal memberikan kesan yang tidak sihat dalam jangka masa panjang.