'Beri Esah peluang jadi ketua kampung' - ADUN Behrang
Astro Awani
Disember 29, 2015 18:40 MYT
Disember 29, 2015 18:40 MYT
Orang ramai khususnya penduduk Kampung Balun diminta memberi peluang kepada seorang wanita membuktikan kemampuan untuk menjadi ketua kampung di situ, ujar Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rusnah Kassim.
“Beri Esah peluang buktikan kemampuannya, tak adil kita menghakimi dia sebelum sempat dia buat apa-apa," kata Rusnah.
ADUN Behrang itu berkata demikian ketika mengulas tindakan Pertubuhan Badan Bertindak Kampung Balun, Perak yang membantah perlantikan Esah Ahmad, 55, sebagai Ketua Kampung itu mulai tahun hadapan.
Beliau memberitahu, pihaknya yakin Esah mampu melakukan tanggungjawab hakiki yang diberikan kepadanya selaku Ketua Kampung Wanita pertama di negeri Perak.
"Kita akui memang dia tak boleh jadi imam tetapi kita bukan bercakap mengenai perkara itu. Kita bercakap mengenai Ketua Kampung yang menjalankan kerja-kerja kebajikan membantu rakyat dan menjadi pengantara penduduk kampung dengan pucuk kepimpinan. Itu fungsi dia.
"Beri dia peluang jalankan tanggungjawab dahulu. Sekiranya didapati dia mempunyai kekurangan jadi beri dia bantuan dan teguran. Menjadi tanggungjawab kita sebagai masyrakat untuk bersama-sama dengan kepimpinan.
"Pendekatan itu seharusnya yang diambil ketika ini. Sekiranya dia degil dan tidak ikut barulah ada asasnya untuk kita membantah. Jika itu terjadi baru kita mencari kepimpinan yang lebih baik," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ipoh pada Selasa.
Tidak perlu risau
Rusnah turut memberitahu, penduduk tidak perlu risau dengan keputusan-keputusan yang bakal dibuat Esah kerana sebarang keputusan memerlukan persetujuan ahli jawatankuasa kampung itu.
"Sekiranya mereka ini risau dengan keputusan yang bakal diambil Esah atau sebagainya, jangan risau kerana setiap keputusan yang diambil itu memerlukan persetujuan jawatankuasa kampung dan saya percaya dalam jawatankuasa itu nanti juga akan ada lelaki," jelas beliau.
Terdahulu, Pertubuhan Badan Bertindak Kampung itu telah membantah pelantikan Esah sebagai ketua kampung kerana didakwa dilakukan tanpa mengambil kira pandangan penduduk.
Pengerusinya, Sulaiman Dogo berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan negeri kerana penduduk kampung akan mengalami kesukaran untuk berurusan memandangkan ketua kampung dilantik itu adalah seorang wanita dan berstatus isteri orang.
"Lebih-lebih lagi apabila keadaan terdesak dan kecemasan di saat-saat memerlukan khidmat ketua kampung terutamanya pada waktu malam.
"Secara tidak langsung ia boleh menimbulkan fitnah selain khuatir hubungan Esah dengan suaminya akan terjejas. Malah ia juga melibatkan faktor keselamatannya untuk keluar pada waktu malam," katanya kepada satu akhbar tempatan.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Badan Bertindak Kampung Balun, Zamri Dam berkata, pelantikan wanita itu nanti akan menjadikan pengumuman atau maklumat yang diberitahu dalam masjid selepas solat Jumaat pasti sukar disampaikan oleh Esah kepada pihak atasan.