Beri banyak bantuan bersasar kepada PKS - Dr Afzanizam
Astro Awani
Januari 12, 2021 09:00 MYT
Januari 12, 2021 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan lebih banyak bantuan bersasar kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Jelasnya, bantuan seperti subsidi upah dan Geran Khas Prihatin perlu diperluas kepada sektor lain yang terjejas.
"Mungkin langkah perlu diteruskan lagi, diperluaskan lagi penggunaan ke sektor terjejas.
"Tetapi kena pastikan penerima betul-betul terjejas selain dilakukan secara lebih bersasar. Pengajaran perlu dilihat kepada sebarang bentuk bantuan, kena tengok kepada keperluan peniaga itu sendiri, sektor itu sendiri, jadi kita hendak lihat apa yang berlaku pada suku kedua 2020 lalu, yang mana pada ketika itu ekonomi memang begitu terencat.
"Namun bantuan-bantuan itu banyak memberi kelegaan kepada peniaga terutama dalam sektor PKS," katanya semasa sidang Skype pada Selasa.
Dalam pada itu tambah Dr Mohd Afzanizam, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi.
Jelasnya, momentum pemulihan suku ketiga dan keempat tahun lalu yang agak kecil disambung dengan suku pertama yang sedikit terganggu.
Sementara itu kata beliau, keputusan mengadakan kembali PKP adalah pilihan antara kesihatan dan ekonomi.
Ujarnya, catatan empat angka jangkitan memerlukan kerajaan mengumumkan langkah drastik untuk memutuskan rantaian penularan wabak.
"Keputusan itu akan menyebabkan sedikit kelembapan dari segi ekonomi tetapi unjurannya akan disemak semula kerajaan kelak," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, prospek ekonomi dijangka kembali cerah selepas program vaksinasi yang akan dimulakan negara pada Februari depan.
#Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#ekonomi
#kesan PKS
#PKP
#Subsidi upah
#Geran Khas Prihatin