Berhimpun dalam ruang sempit yang jadi masalah, bukan rentas negeri - Dr Noor Hisham

Madiha Abdullah
November 12, 2021 17:48 MYT
KKM guna kaedah serampang dua mata iaitu pemberian vaksin dan booster kepada golongan tertentu dan kepatuhan terhadap SOP, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
KUALA LUMPUR: Penularan COVID-19 dalam negara adalah terkawal, namun, indikator kadar kebolehjangkitan (R-Naught) yang meningkat kepada angka 1.0, mungkin merupakan tanda-tanda awal bakal berlakunya peningkatan kes jangkitan.
Justeru, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan kaedah serampang dua mata dalam menangani situasi itu, iaitu pemberian vaksin dan dos penggalak (booster) kepada golongan tertentu dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
"1.0 bermaksud kes akan mendatar, ia tidak menurun lagi. Kalau dahulu, 0.8 bermakna ada penurunan 20 peratus satu kitaran, tapi sekarang ia mendatar.
"Ini tanda-tanda awal kes mungkin akan melonjak naik, jadi Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai yang pertama, kepatuhan kepada SOP.
"Rentas negeri tak ada masalah, yang jadi masalah ialah apabila kita berhimpun ramai-ramai di tempat sempit, berbual dalam jarak yang dekat.
"Itu yang menjadi punca utama tersebarnya COVID-`19," katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut beliau, kadar vaksinasi negara sudah mencapai hampir 76 peratus dan ia menyumbang kepada keadaan terkawal ketika ini namun sebilangan kecil yang enggan divaksin berpotensi membawa penularan dalam masyarakat.
Mengambil contoh beberapa negara luar, Dr Noor Hisham berkata, jangkitan COVID-19 menular dalam kalangan golongan yang tidak menerima vaksin sekali gus ia menjadi pandemik.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, pemberian vaksin dos penggalak bagi golongan rentan juga penting bagi memastikan kes tidak meningkat semula dengan mendadak.
"Kita lihat bagaimana pengalaman negara-negara lain yang lebih ke depan dalam hal vaksinasi, mereka mengalami kenaikan kes mendadak.
"Kita belum lagi di peringkat itu kerana kita masih di fasa mendatar, tetapi masa inilah yang penting untuk kita cegah supaya tidak berlaku kenaikan.
"Kalau kita boleh tingkatkan lagi kepatuhan kepada SOP, dan mendapatkan vaksin bagi yang belum serta dos penggalak bagi mereka yang sudah diberikan temujanji.
"Ini cara kita untuk bersiap siaga, luaran dan dalaman untuk berperang dengan COVID-19," tambah Dr Noor Hisham lagi.
#Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19 #SOP #rentas negeri #Kementerian Kesihatan #vaksin
;