Berhijrahlah! Berhenti daripada merokok

Muzaffar Syah Mallow
September 1, 2019 13:43 MYT
Sempena Hijrah, adalah wajar untuk umat Islam mengambil peluang untuk meninggalkan ketagihan terhadap rokok. -Gambar hiasan
HIJRAH merupakan antara peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa Hijrah amat sinonim dengan semua umat Islam di serata dunia yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.
Hijrah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud berpindah. Pada umumnya, perpindahan berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Namun, dalam konteks sejarah Islam, Hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Makkah ke Madinah dalam usaha memperkukuhkan kedudukan Islam selain antara strategi menyebarkan agama Islam pada peringkat awal penyebarannya.
Peristiwa Hijrah umat Islam dari Makkah ke Madinah berlaku pada tahun 622 M.
Peristiwa Hijrah telah membawa banyak kebaikan kepada agama Islam dimana melalui Hijrah ini, agama Islam dapat disebarkan dengan lebih aman dan harmoni tanpa banyak gangguan.
Peristiwa Hijrah ini juga telah berjaya menyatupadukan penduduk Madinah ketika itu yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini akhirnya telah berjaya melahirkan kehidupan yang lebih makmur di Madinah.
Namun dalam menghayati peristiwa Hijrah ini, kita tidak seharusnya melihatkan peristiwa Hijrah dari aspek perpindahan dari sebuah tempat ke sebuah tempat yang lain.
Umat Islam harus faham pengertian maksud Hijrah itu sendiri adalah lebih luas di mana ia turut meliputi perubahan.
Perubahan yang dimaksudkan di sini adalah perubahan dari sebuah kedaaan tidak atau kurang baik kepada sebuah keadaan yang lebih baik.
Hijrah juga boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk perjuangan untuk meninggalkan segala perkara yang buruk ataupun mungkar kepada perjuangan untuk melakukan perkara kebaikan.
Hijrah juga boleh dilambangkan dengan satu bentuk semangat jitu yang ingin berubah dan perubahan ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan seperti perubahan dari segi sikap, cara berfikir dan tingkah laku.
Terdapat banyak perubahan yang boleh dilakukan oleh seseorang individu untuk mengecapi kehidupan yang lebih baik dan lebih bermakna berpandukan ajaran sebenar Islam.
Antara perubahan yang boleh dilakukan ialah dengan meninggalkan sikap atau ketagihan merokok.
Isu merokok merupakan satu isu penting pada masa kini kerana berjuta–juta orang telah menjadi ketagih terhadap bahan terbabit termasuk umat Islam sendiri.
Masalah pengunaan serta ketagihan terhadap rokok ini dilihat menjadi semakin serius apabila ia mula digunakan oleh golongan remaja dan kanak–kanak yang rata–ratanya masih bersekolah.
Dengan kemunculan pelbagai teknologi moden, maka muncul lah pelbagai barangan yang seakan-akan sama dengan rokok seperti vape dan shisha.
Isu rokok perlu mendapat perhatian yang serius dari semua pihak kerana bahaya yang boleh dibawa olehnya terhadap diri penghisap rokok itu sendiri serta kepada orang sekeliling yang tidak menghisap rokok.
Banyak kajian telah dilakukan oleh pakar–pakar dari dalam dan luar negara terhadap bahaya rokok ini. Bahaya merokok ini juga telah disahkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kesan buruk yang dibawa oleh rokok ini juga tidak hanya terhad berlaku terhadap kesihatan manusia, ia juga boleh membawa kepada pembaziran wang, masa serta tenaga. Setiap tahun, pihak kerajaan Malaysia telah mengumumkan kenaikan harga rokok dalam usaha bagi membendung pengunaan dan ketagihan merokok dalam masyarakat.
Namun, ibarat mencurah air di daun keladi, masih ramai pihak yang sanggup membazirkan wang mereka semata–mata untuk memenuhi nafsu mereka terhadap rokok. Lebih menyedihkan, terdapat juga sesetengah pihak yang sanggup membeli dan mengunakan rokok seludup yang lebih berbahaya kerana tidak dapat dipastikan asal–usulnya isi kandungannya.
Pengunaan rokok adalah jelas haram dalam Islam. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”.
Pengharaman rokok yang telah dibuat oleh pihak Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 berkenaan telah dibuat berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok juga mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling perokok khususnya melalui asap rokok yang dihasilkan, merokok juga boleh mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar dan perbuatan merokok ini juga menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta membawa kerugian kepada golongan perokok yang mengunakannya.
Agama Islam melarang keras umatnya melakukan sebarang perkara yang membawa kemudaratan serta merugikan.
Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Al–Quran melalui Surah Al–Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.
Oleh yang demikian, adalah amat wajar sekiranya umat Islam mengambil peluang keemasan melalui sambutan dan kedatangan Maal Hijrah pada kali ini untuk meninggalkan penggunaan dan ketagihan mereka terhadap rokok yang bukan sahaja tidak membawa manfaat dan kebaikan buat diri mereka malah boleh membawa kemudaratan dan keburukan kepada diri mereka dan orang sekeliling.

Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI

#berhenti merokok #fatwa #haram #hijrah #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #shisha #vape #WHO
;