Berhibur sehingga habis wang, pemuda Malaysia buat laporan palsu di Thailand

Bernama
Ogos 18, 2018 20:58 MYT
Pemuda itu mendakwa telah menghabiskan kesemua RM2,000 (16,000 Baht) yang ada padanya untuk minum minuman keras dan berhibur di sebuah bar pada malam kejadian. - Gambar hiasan
Seorang pemuda Malaysia yang menghabiskan wangnya di sebuah bar di Chiang Mai, Thailand sehingga tiada wang untuk pulang ke tanah air mungkin terpaksa menghabiskan beberapa tahun di penjara kerana membuat laporan palsu kepada polis.
Menurut sumber polis Chiang Mai, pemuda berusia 20 tahun itu dalam laporannya mendakwa kononnya telah dirompak oleh "pelancong barat" yang bersenjatakan pisau.
Sebenarnya, lelaki itu terdesak membuat laporan palsu bagi mendorong ayahnya menghantar wang kepadanya untuk pulang ke Malaysia.
Sebaik menerima laporan pemuda itu pada Jumaat, anggota polis dari Balai Polis Mueng di Chiang Mai melakukan siasatan di tempat kejadian dan menemuramah penduduk setempat, namun mendapati tiada sebarang kejadian rompakan berlaku.
"Kami tidak menemui sebarang bukti kejadian rompakan seperti yang didakwa, dan lelaki Malaysia itu akhirnya mengakui membuat laporan palsu," kata sumber itu.
Menurutnya lagi, pemuda itu mendakwa telah menghabiskan kesemua RM2,000 (16,000 Baht) yang ada padanya untuk minum minuman keras dan berhibur di sebuah bar pada malam kejadian.
Dia yang mendakwa datang dari keluarga seorang ahli perniagaan, tiba di Chiang Mai bersendirian pada Khamis jam 10 malam waktu tempatan.
Akibat membuat laporan palsu, pemuda itu boleh dipenjara tiga tahun dan didenda 10,000 Baht (RM1,250) atau diberi penangguhan hukuman, bergantung kepada budi bicara hakim.
"Dia telah lakukan satu jenayah (memfailkan laporan palsu) dan hukumannya adalah penjara. Ia merupakan perkara besar di negara kami sekiranya kejadian (rompakan pelancong) itu benar-benar berlaku," kata sumber itu sambil menambah, rompakan terhadap pelancong mencemar imej Thailand sebagai destinasi pelancongan dunia.
Katanya lagi, lelaki tersebut mungkin menghadapi masalah lebih besar kerana dia didakwa menawarkan 20,000 Baht (RM2,500) kepada anggota polis sebagai dorongan supaya menggugurkan kes terhadapnya.
"Pemuda Malaysia ini mungkin fikir ianya suatu gurauan, hendak menawarkan bayaran supaya kami melupakan kes tersebut. Ini bukan caranya," katanya.
Tambahnya, rompakan adalah kesalahan serius di Thailand. Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah.
Sementara itu, difahamkan lelaki Malaysia tersebut tidak dibenarkan ikat jamin dan kini ditahan pihak polis sehingga dihadapkan ke mahkamah berkemungkinan minggu hadapan.
Polis bimbang lelaki itu akan meninggalkan Thailand dan pulang ke Malaysia.
Bernama difahamkan bapa pemuda itu akan tiba di Chiang Mai dalam masa terdekat. -- Bernama
#Chiang Mai #laporan palsu
;