Berhemat dalam pembelian, tangani pembaziran makanan - Salahuddin
Madiha Abdullah
Januari 16, 2023 18:55 MYT
Januari 16, 2023 18:55 MYT
KUALA LUMPUR: Dengan harga barangan makanan mula menunjukkan kestabilan, orang ramai diminta agar lebih berhemat dalam pembelian bagi mengelakkan pembaziran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pihak kementerian akan terus mengadakan kempen kesedaran bagi memberi pendidikan kepada orang ramai.
"Kita harap dapat meneruskan pendidikan kepada orang ramai agar mereka berhati-hati dan menghargai makanan yang dibeli supaya tiada pembaziran atau terlebih beli.
"Saya harap dengan inisiatif promosi barang tidak lagi berlaku pembelian panik supaya ini akan menstabilkan bukan barangan tetapi emosi rakyat," katanya ketika ditemui media selepas melakukan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Tahun Baharu Cina di pusat beli-belah AEON Midvalley, pada Isnin.
Skim harga itu akan berjalan dari 15 Januari sehingga 29 Januari ini.
Antara barangan yang termasuk dalam skim harga ini ialah kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing), ubi kentang import (China), bawang putih (China) dan ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor).
Beliau mengharapkan kerjasama erat dapat dijalin antara pemain industri dan pengguna bagi membolehkan semua pihak mendapat manfaat daripada skim harga berkenaan.
"Kalau ada pelanggaran, kita terpaksa ambil tindakan walaupun itu bukan pilihan terbaik.
"Apapun saya berharap kerjasama antara pemain industri dan pengguna dapat dijalin erat supaya dengan adanya kefahaman pengguna dan tanggungjawab pemain industri, semua pihak dapat manfaat, bukan sebab denda atau saman.
"Ini tidak bermakna kementerian bertolak ansur tetapi saya menasihatkan semua agar beri kerjasama," katanya lagi.