Berhati-hati pilih kawan, jauhi dadah - Bekas penghuni penjara

Bernama
Jun 14, 2024 09:00 MYT
Seorang banduan menangis sambil memeluk dua anaknya yang hadir sempena Program Pelepasan Banduan Secara Lesen Insan MADANI Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidiladha di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, semalam. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: "Berhati-hati dalam memilih kawan dan jauhi dadah," nasihat seorang bekas penghuni penjara warga emas di sini kepada masyarakat di luar sana, terutama buat generasi muda.
Sofea (bukan nama sebenar), 65, yang dipilih sebagai orang bebas berlesen (OBB) tahanan rumah pertama di Sabah semalam berkata nasihat itu dititipkan berikutan rasa sedihnya melihat ramai generasi muda meringkuk dalam penjara akibat tersalah langkah dalam hidup terutama dalam memilih kawan dan terjebak dengan dadah.
Malah pesara penjawat awam dengan pengalaman kerja selama 33 tahun itu mahu masyarakat mengambil pengajaran daripada kisah hidupnya dipenjara kerana terperangkap menjadi 'keldai akaun' untuk rakan yang meminta pertolongan meminjam akaun banknya bagi membuat transaksi kewangan.
"Saya reda dan tidak sedih dipenjara kerana bagi saya ini ketentuan Tuhan, tetapi saya sedih lihat dalam penjara ada orang muda, ada keluarga yang mana dalam blok saya ada 22 orang, hanya empat terlibat jenayah lain dan bakinya semua jenayah dadah.
"Ada mereka ini terjebak dadah bila berkawan, pilih kawan tumpang kereta bila berjumpa mereka letak barang (dadah) dalam beg. Orang Sabah kata 'kena hantu'. Bagi saya ini satu ketentuan Tuhan untuk saya di dalam sana, saya cuba tolong nasihatkan mereka supaya solat dan menjadi orang baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Pelepasan Bantuan Secara Lesen (PBSL) 'Ihsan Madani' Kepulangan Yang Di Nanti Sempena Hari Raya Aidiladha 2024 disempurnakan Pengarah Penjara Negeri Sabah dan Labuan Nora Musa di Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini semalam.
Seramai 196 orang menerima pelepasan melalui program itu sebagai OBB di Sabah dengan 64 orang bebas berlesen (OBB) adalah dari penjara di Kota Kinabalu, dan Sofea adalah satu-satunya OBB tahanan rumah yang mana beliau sepatutnya tamat menjalani hukuman penjaranya setahun pada November ini.
Sofea berkata keadaan kesihatannya sebagai penghidap penyakit kencing manis kronik dan terpaksa disuntik insulin empat kali sehari selain berkelakuan baik merupakan antara kriteria melayakan beliau menjadi OBB tahanan rumah.
Bagaimanapun apa yang menariknya semasa dalam penjara beliau dalam keadaan yang sihat apabila makan minum serta pemakanan dan ubat-ubatan dipantau rapi pihak Jabatan Penjara selain dapat menyertai pelbagai program ilmiah juga keagamaan.
"Layanan yang saya terima amat baik di sini, selain ada bimbingan agama dan ilmiah ada juga belajar kawad. Terima kasih banyak saya ucapkan, nasihat diberikan pegawai penjara tidak pernah saya ambil hati malah saya amat hargai. Bagi orang berada dalam penjara mungkin sedih tetapi saya gembira.
"Kita bukan duduk makan minum sahaja, banyak aktiviti kita dapat buat. Solat lima waktu juga sentiasa diingatkan, saya sempat juga nasihatkan kawan-kawan untuk solat. Bagi saya ini adalah tempat terbaik untuk renung dan perbaiki diri kita menjadi insan lebih baik," kata Sofea yang mempunyai tiga orang anak, 12 orang cucu dan seorang cicit.
Sementara itu Nora berkata program PBSL memainkan peranan penting dalam usaha Jabatan Penjara untuk memulihkan OBB secara dalam komuniti yang mana mekanisma pemulihan dalam komuniti mempunyai keberkesanan yang lebih tinggi berbanding pemulihan biasa.
Beliau berkata ini kerana mereka yang menjalani pemulihan dalam komuniti mempunyai peratusan kembali ke dalam penjara yang amat rendah iaitu 0.24 peratus, berbanding 17 peratus yang tidak berpeluang mengikuti pemulihan dalam komuniti.
"Komitmen serta galakan daripada keluarga, majikan, anggota komuniti dan semua yang terlibat penting dalam usaha mengintegrasikan semula prospek ini ke dalam komuniti itu sendiri. Kita pastikan OBB bila keluar penjara mempunyai pekerjaan," katanya.
-- BERNAMA
#banduan #Penjara Pusat Kota Kinabalu #Dadah #bekas penghuni penjara
;