Berhati-hati dengan 'Biskut Raksasa' - Polis

Bernama
Mei 20, 2015 07:46 MYT
Siasatan Polis mendapati pelajar itu sering berhubung melalui media sosial dengan sekumpulan orang tidak dikenali yang menjual biskut dikenali sebagai 'Biskut Raksasa'.
Polis Labuan menasihati orang ramai, terutama pelajar, supaya berhati-hati dengan taktik terbaru pengedar dadah yang mencari pelanggan melalui Internet.
Ketua Polis Labuan Supt Adzhar Othman berkata polis menahan seorang pelajar berusia 20 tahun pada 2.56 petang 17 Mei selepas ibu bapa pelajar itu membawanya ke balai polis setelah mendapati anak mereka berkelakuan pelik.
"Kami dapati pelajar itu positif ganja dan segera menahannya mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dia dibebaskan pada hari berikutnya," kata Adzhar dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, siasatan mendapati pelajar itu sering berhubung melalui media sosial dengan sekumpulan orang tidak dikenali yang menjual biskut dikenali sebagai 'Biskut Raksasa'.
"Pelajar itu menempah dua balang biskut itu, setiap satu berharga RM60," katanya.
#Dadah #jenayah #PDRM #polis #sindiket dadah online
;