Berhati-hati barangan kemas ditawar murah, mungkin hasil curi - Polis
Bernama
Januari 6, 2016 09:02 MYT
Januari 6, 2016 09:02 MYT
Polis Terengganu mengingatkan orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga barangan kemas yang murah kerana mungkin ia hasil curi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata orang ramai juga perlu peka dan melaporkan kepada pihak polis jika mengesyaki dan didatangi individu yang menawarkan harga barang kemas lebih murah berbanding harga pasaran.
Beliau memberikan peringatan itu bagi menggelak orang ramai membeli barangan kemas bernilai RM200,000 yang dilarikan dari sebuah kedai emas di Bukit Payong di Marang, Sabtu lalu.
Peniaga dan peraih emas juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan membeli barangan kemas yang dicuri itu, katanya kepada Bernama Selasa.
Semalam polis berjaya menahan seorang lelaki berperwatakan lembut kira-kira 36 jam selepas melarikan sedulang barang kemas dari kedai emas tersebut dan dalam serbuan kira-kira 11 malam itu pihak polis berjaya menemukan kembali sebahagian barang kemas.
Wan Abd Aziz berkata polis sedang giat mengesan baki barangan kemas itu yang dipercayai telah dilarikan rakan suspek.