'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu' tema Hari Guru tahun ini
Astro Awani
Mei 11, 2020 04:42 MYT
Mei 11, 2020 04:42 MYT
Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu.
Itu adalah tema Hari Guru sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaaan kali ke-49 pada tahun ini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pada Isnin menjelaskan tema itu menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Guru merupakan insan yang sentiasa dahagakan ilmu dan tidak jemu memperlengkap dirinya dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran dan nilai sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).
"Dalam konteks berguru, ilmu hendaklah diperoleh daripada seseorang yang mempunyai kepakaran atau kemahiran yang autentik serta berasaskan sumber yang betul, sahih dan berwibawa.
"Murid perlu menginsafi bahawa tidak ada manusia yang mencapai kejayaan di dunia ini tanpa kehadiran insan bergelar guru.
"Guru juga insan yang banyak membentuk karakter dan keperibadian seseorang," katanya.
Pada masa sama, KPM yakin tema tahun ini dapat memberi semangat baharu kepada guru serta murid, seterusnya membentuk masyarakat yang menuntut ilmu dengan niat ikhlas agar ilmu mudah melekat dalam sanubari.