Bergurau tak kena tempat, dakwaan diculik van putih rupanya palsu
Sinar Harian
Julai 31, 2019 16:06 MYT
Julai 31, 2019 16:06 MYT
Seorang remaja berusia 13 tahun membuat laporan palsu mengaku dirinya nyaris diculik seorang lelaki bertopeng yang menaiki van putih di belakang Flat Hijau di Bandar Baru Kubang Kerian di sini semalam semata-mata mahu bergurau dengan rakannya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata remaja tersebut membuat laporan awal pagi tadi, namun polis mengesan keterangannya mencurigakan dan didapati palsu.
“Remaja tersebut bercerita dengan menggambarkan kejadian (cubaan culik) seolah-olah benar-benar berlaku.
“Polis kemudian menjalankan siasatan namun mendapati perkara tersebut tidak berlaku serta tidak wujud kejadian seperti mana yang didakwa remaja itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Semalam tular di laman sosial seorang remaja luka belakang kaki kanan mendakwa dirinya diseret seorang lelaki bertopeng bersenjatakan pisau dalam cubaan menculiknya di belakang Flat Hijau, Bandar Baru Kubang Kerian, di sini malam tadi.
Kejadian digambarkan berlaku pada 7.30 malam ketika dia menunggang basikal bersendirian dari rumah rakan untuk pulang ke rumahnya di lokasi berdekatan sebelum bajunya ditarik lelaki tidak dikenali.
Dakwanya, dia bagaimanapun berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian mendakwa dirinya cuba diculik.
Abdul Rahim berkata, susulan itu, pelajar berkenaan sudah diambil keterangan dan mengaku bahawa dia hanya bergurau dengan rakan sekolah tanpa menyedari ia telah ditular.
“Kejadian itu tular di aplikasi WhatsApp sejak malam tadi yang membuatkan ibu bapa dan masyarakat risau dengan keselamatan anak-anak mereka.
“Laporan palsu yang dibuat boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebar berita palsu sebaliknya mendapatkan kepastian dahulu daripada polis tentang sesuatu sebelum ditularkan.
“Menyebarkan berita palsu menyebabkan individu itu berdepan dakwaan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada bergantung kepada bentuk penyebaran.
“Saya menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat laporan polis palsu sewenang-wenangnya kerana itu adalah satu kesalahan undang-undang serta menyusahkan pihak polis menyiasat perkara yang tidak benar selain meresahkan orang ramai,” katanya.
#Abdul Rahim Daud
#Balai Polis Kubang Kerian
#Bandar Baru Kubang Kerian
#cubaan culik
#Flat Hijau
#laporan palsu
#van putih