Bergenang air mata Tya Arifin lihat kediaman mangsa banjir

Mingguan Wanita
Disember 25, 2021 10:45 MYT
Tya dan suami Asyraf Khalid begutu bersimpati dengan apa yang berlaku dan cuba meringankan beban mereka dengan sedikit sumbangan. - Foto Instagram/Tya Arifin
"BERGENANG air mata lihat kediaman mangsa banjir".
Begitulah yang diluahkan oleh pelakon dan juga usahawan Tya Arifin apabila berpengalaman melihat sendiri keadaan kediaman mangsa banjir.
Menantu kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza ini begitu prihatin dengan nasib mangsa banjir yang terjejas teruk. Bukan sekadar menjenguk mangsa banjir Tya juga turun padang memberikan bantuan.
Tya juga menyatakan empat daripada kakitangannya yang berkhidmat di bawah Empayar Mutyara turut terlibat dengan bencana alam yang menimpa beberapa lokasi di Lembah Klang itu.
Dia dan suami Asyraf Khalid begutu bersimpati dengan apa yang berlaku dan cuba meringankan beban mereka dengan sedikit sumbangan.
“Niat saya dan suami adalah untuk menghulurkan sumbangan kepada para pekerja Mutyara serta keluarga mereka yang terkesan.
“Selain bantuan makanan dan keperluan asas, sumbangan wang ringgit juga turut saya salurkan kepada mereka,” katanya.
Tanggungjawab Sosial Bantu Mereka Yang Memerlukan
Ibu kepada dua cahaya mata ini juga turut tersentuh dan air mata bergenang saat melihat keadaan kediaman mangsa terlibat.
Dek kerana itu juga Tya tekad untuk terus menghulurkan bantuan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Cahaya Mutyara yang digerakkannya beberapa bulan lalu.
“Ini merupakan tanggungjawab saya meringankan beban golongan yang memerlukan. Saya dan pekerja-pekerja di Wisma Mutyara hidup ibarat keluarga dan saling membantu antara satu sama lain.
“Lagi pun Cahaya Mutyara sememangnya diwujudkan untuk membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten dan menyeluruh.
“InsyaAllah, saya harap sumbangan ikhlas ini mampu mengukir senyum di wajah mereka,” ungkapnya.
* Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.
#banjir #Tya Arifin #mangsa #bantuan
;