Bergelutnya antara warisan dan kemajuan modenisme

Daily Seni
November 23, 2014 09:30 MYT
Penjara Pudu sebelum dirobohkan untuk dijadikan tapak kepada modenisme kotaraya - Foto BERNAMA
Isu yang bakal disentuh melalui artikel ini, barangkali dilihat sebagai sesuatu yang besar dan berada di luar jangkauan orang-orang awam. Apa yang dapat dilakukan oleh kita sebagai rakyat awam, jika segala kesulitan yang bakal kita hadapi pastinya akan bergelumang di celah-celah data ataupun tatanan birokrasi yang gah lagi melemaskan?
Apa yang dapat dinyatakan oleh kita selain keluhan tentang kondisi keserlahan bandar di negara kita, yang secara tidak henti dibangunkan atas nama persaingan di dalam dunia globalisasi?
Kes-kes yang ada seperti Merdeka Tower oleh PNB, Penjara Pudu, Kampung Chetti, Lembah Bujang, Bangunan Vivekananda Ashramam Brickfields, Bangunan Kediaman Tengku Kudin, dan baru-baru ini, Rumah Degil yang terletak di Chow Kit, kesemuanya bakal ditenggelami dan diganti oleh bangunan-bangunan yang bakal menjadi simbol syarikat-syarikat korporat.
Di sini orang awam akan mula mempersoalkan kemajuan yang kita inginkan, dan bagaimana kita dapat membezakan apa yang benar-benar penting dan apa yang tidak.
Tidak dapat kita nafikan bahawa mungkin sahaja silap faham atau pun sikap kejahilan yang berlaku di kala ini, lagi-lagi berikutan konteks negara kita, adalah kebingungan kita tentang definisi modenisme dan modenisasi itu sendiri.
Dan juga ada benarnya istilah kosmopolitan dan saduran gah bangunan-bangunan tinggi yang didukungi produk teknologi ini adalah hasil keterujaan kita terhadap arus modenisme itu sendiri.
Harus ditekankan disini, sebagai rakyat biasa yang hampir mempunyai batas di dalam segala bidang yang bakal disentuh, modenisme adalah arus yang dimulakan oleh orang luar, cahaya tamadun yang mengaburkan mata penduduk kita.
Bagi pendapat saya, pihak-pihak (penjajah dari Eropah) yang membawa cahaya yang dipaksakan ini telah pun melalui proses modenisasi, sedangkan kita, yang kian lelah mengejar segala yang pernah wujud di dalam masa yang kurang daripada satu abad, masih belum berjaya mendefinisikan teori tersebut berdasarkan keupayaan dan konteks negara kita sendiri.
Dan bagi pihak-pihak yang berkuasa, yang seringkali terbuai lena dan terpegun (yang tidak dapat kita nafikan generasi mereka dan konteks zaman yang mereka telah lalui) oleh saduran modenisme ini, dengan begitu cepat ingin mengejar secara fizikal dan luaran sahaja, dan mengendahkan intipati modenisasi itu sendiri.
Iaitu suatu karakter yang berdiri teguh dan berdikari, yang sentiasa mempunyai rasa untuk mengkritik diri sendiri berdasarkan konteks yang ada. Warisan yang wujud tidak harus dibuang begitu sahaja, dan dibiarkan hancur dengan pelbagai alasan yang jelas sekali berpihakkan orang korporat yang mendominasi dunia kapitalisme ini.
Sejarah agung adalah sesuatu yang menguatkan kita dan menyedarkan kita tentang kewujudan kita sendiri, ianya merupakan sesuatu yang membutakan kita sendiri jikalau warisan yang pernah ada dihancurkan atas nama keserlahan negara ataupun tamadun yang tidak pernah dibincangkan dengan penuh sedar. Suatu pemeriksaan ke atas sejarah yang pernah wujud, harus dilihat sebagai kunci utama bagi kita untuk menciptakan strategi-strategi bagi perubahan.
Pemahaman yang teliti tentang bagaimana kita sebagai rakyat di negara ini berada di dalam kondisi yang sedia ada, berupaya untuk memberi kita pencerahan tentang bagaimana untuk menjangkaui masalah yang bakal timbul, dan berusaha untuk mengubah landasan yang ada ke arah masa hadapan yang lebih cerah.
Ianya merupakan sesuatu yang benar-benar menyedihkan jikalau segala kemusnahan yang berlaku di waktu ini, adalah manifestasi sifat kita sebagai rakyat di negara ini yang terdesak dan lemas dibawa arus globalisasi tanpa adanya keutamaan untuk berani berfikir dan melakukan suatu proses kritikan mengikut batas kita yang tersendiri.
Pihak-pihak berkuasa tidak harus menghubungkan simbol material dengan prestasi tamadun negara kita sendiri. Apalah sangat kekuatan material ingin dibandingkan jika kekuatan mental kita masih lemah dan mundur, dimana-mana sahaja intipati kemunduran itu jelas benar terlihatkan di surat khabar ataupun media sosial.
Berikutan kes warisan yang ingin dihancurkan pihak pemaju, rakyat awam majoritinya tidak ingin membincangkan isu teknikal, kerana ianya tidak disertai naluri manusia, dan hanya bersandarkan atas data-data dan undang-undang yang senang benar untuk dimanipulasi untuk kesenangan pihak pemaju.
Kami mengharapkan bahawa warisan-warisan yang penting ini tidak langsung ditenggelami oleh keinginan yang membuak-buak untuk mengejar modenisme yang disangkakan mereka sebagai proses modenisasi.
Pihak pemaju dan kami semua, sebagai rakyat telah dibutakan oleh modenisme, yang tidak pernah diberi peluang untuk dibincangkan dengan penuh terbuka dan kebanyakkan pihak yang mempunyai kuasa tidak pernah memikirkan kesemua ini dengan penuh mendalam.
Besar kemungkinan, dengan berlakunya kemusnahan seperti apa yang telah terjadi, Malaysia sendiri bakal diasingkan oleh penduduknya sendiri.
Bakal dipenuhi dengan orang-orang asing, dimana mereka juga merasakan bahawa negara kosmopolitan ini, sama sahaja seperti negara-negara yang lain. Lemas dan sesak dengan pembangunan yang tidak membawa semangat yang original, yang mampu sahaja memberi nafas atau perspektif yang baru terhadap orang asing tersebut.
Kita juga tidak dapat menafikan bahawa setiap ruang yang wujud di negara kita, mewakili kita sebagai rakyat secara umum, dan percanggahan yang berlaku secara fizikal dan terwujud di ruang penampakan ini, secara tidak langsung mewakili pergelutan yang bakal berlaku di dalam masharakat kita. Tanpa dialog dan wacana yang terbuka, tentang apa yang perlu dilakukan, hanya akan membikin konflik dalaman menjadi lebih teruk.
Malaysia seperti yang kita ketahui, bakal hilang dan keinginan untuk merasai perasaan untuk diterima dibandar sendiri akan dimusnahkan – atas nama modenisme dan butanya kita tentang proses modenisasi itu sendiri.
#Kampung Chetti #Lembah Bujang #Penjara Pudu #Rumah Degil
;