Berganding bahu dan majukan Johor - Dr Sahruddin
Bernama
April 14, 2019 18:31 MYT
April 14, 2019 18:31 MYT
Menteri Besar Johor yang baharu Dr Sahruddin Jamal menyeru rakyat bersamanya berganding bahu untuk memajukan lagi negeri.
Beliau berkata kemajuan yang dicapai itu dapat memastikan rakyat secara keseluruhannya menikmati kehidupan lebih selesa.
"Terima kasih kerana daripada awal bersama saya, saya diamanahkan sebuah tugas lebih besar untuk kita semua dan saya akan laksana dengan sebaiknya," katanya dalam ucapan ringkas setelah bertemu penduduk kampung halamannya di Kampung Batu 28, Lenga di sini hari ini.
Selain penduduk kampung, Dr Sahruddin turut meluangkan masa melawat ibunya Isniah Kasmongin, 72, serta anggota keluarganya di kampung itu.
Dr Sahruddin, 43, menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene pada pukul 9.30 pagi tadi.
Beliau dilantik Menteri Besar Johor ke-17 susulan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian, 8 April lepas.
Sementara itu, Isniah berkata meskipun terdapat banyak desas-desus berhubung perlantikan Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar, namun Isniah serta sembilan lagi anaknya tidak menyangka anak kelapannya itu dipilih sebagai Menteri Besar Johor.
Isniah berkata sebagai seorang ibu beliau bangga atas pencapaian anaknya itu yang berjaya memenuhi cita-cita suaminya Allahyarham Jamal Kasran untuk melihat anaknya berjaya menjadi seorang pemimpin.
"Dia (Dr Sahruddin) sendiri telefon makcik semalam maklumkan dia terpilih jadi Menteri Besar Johor. Masa tu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan seorang ibu bila anaknya dilantik jadi pemimpin. Anak-anak yang lain dengar pun terharu, semua menangis gembira.
"Bila dah dilantik ni, makcik gembira dan bersyukur. Apa yang diharapkan, Isah (nama panggilan Dr Sahruddin) mampu jadi pemimpin yang baik, bertanggungjawab dan amanah mentadbir negeri," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini. -- Bernama