Berebut pelanggan dan dendam lama punca pergaduhan di Medan Renong - Polis
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 3, 2022 19:10 MYT
Februari 3, 2022 19:10 MYT
GEORGE TOWN: Berebut pelanggan dan dendam lama menjadi punca pergaduhan beberapa individu di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama, malam Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga susulan kejadian itu.
Saravanan berkata, lelaki berusia 36 tahun itu mendakwa berlaku perselisihan faham antaranya dengan lima lelaki lain sehingga tercetusnya perbalahan.
Lelaki itu juga mendakwa dua lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu adalah adiknya manakala tiga lagi adalah sepupunya.
Hasil siasatan mendapati, punca pergaduhan dikatakan kerana berebut pelanggan selain terdapat dendam lama antara kedua-dua belah pihak.
Saravanan berkata, ketika kejadian, kedua-dua pihak dikatakan menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata.
Akibat daripada pergaduhan itu, kesemua mereka hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka dan calar pada badan
Bagaimanapun katanya, kesemua mereka telah pun tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk memberi keterangan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil atau menghubungi IPD Timur Laut bagi membantu siasatan.
Selasa lalu, tular di laman sosial facebook satu video berdurasi 44 saat berhubung kejadian pergaduhan beberapa orang individu di Kompleks Makanan Medan Renong Padang Kota Lama.