Berebut harta pusaka, abang maut dihentak pemadam api

Astro Awani
Mei 14, 2017 10:14 MYT
Lim Poh Hau, 59, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala. - Foto PDRM
Pertelingkahan dua beradik berkaitan isu tanah pusaka berakhir dengan tragedi apabila abangnya maut selepas kepalanya dihentak menggunakan alat pemadam api.
Lim Poh Hau, 59, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Sebelum kejadian, mangsa dikatakan pergi ke rumah suspek di Kampung Sama Gagah di sini sekitar jam 7.50 pagi tadi sebelum berlaku pertengkaran.
Mangsa dipercayai terlebih dahulu memulakan pergaduhan dengan melanggar suspek menggunakan motosikal miliknya.
Berang dengan tindakan itu, suspek menyembur muka mangsa menggunakan alat pemadam api selain menghentak belakang kepala sehingga maut.
Polis yang tiba di tempat kejadian selepas dihubungi orang awam kemudian bertindak menahan suspek manakala mayat mangsa dihantar ke hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#bunuh #dihentak #harta pusaka #maut #mayat #pemadam api #Permatang Pauh #polis