Berdosa jika tidak patuhi peraturan jalan raya - Mufti

Astro Awani
Jun 3, 2019 17:58 MYT
ZULKIFLI: Maka kewajipan itu terpakai kerana mentaati pemerintah selama mana sesuatu arahan yang dikeluarkan dari pihak pemerintah tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah. -Gambar fail
Hukum mematuhi peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan oleh pihak berkuasa adalah wajib.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika menjelaskan perkara itu berkata pihak berkuasa melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) adalah badan yang bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara segala kemaslahatan manusia yang berada di atas jalan raya, lapor Sinar Harian.
“Justeru, MoT dengan usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bernaung di bawahnya memainkan peranan besar dalam memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dan menolak sebarang kemudaratan kepada mereka.
“Maka kewajipan itu terpakai kerana mentaati pemerintah selama mana sesuatu arahan yang dikeluarkan dari pihak pemerintah tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunnah,” katanya dalam penerangan Bayan Linnas Siri Ke-180: Fiqh Jalan Raya Sempena Hari Raya pada Ahad.
Sehingga semalam, sebanyak 90 kematian dicatatkan sepanjang Ops Selamat 15/2019 di seluruh negara sempena Hari Raya Aidilfitri yang dilancarkan bermula 29 Mei lalu.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata apabila tiada sistem dan undang-undang jalan raya yang baik untuk dipatuhi, maka jadilah suasana carca-marba dan yang parahnya boleh membawa kepada kemalangan.
“Sekiranya pemanduan itu dilakukan secara merbahaya atau tidak mengikut undang-undang jalan raya lalu mengakibatkan kecelakaan kepada diri sendiri, pengguna jalan raya yang lain atau mana-mana infrastruktur awam maka seseorang itu dianggap berdosa di atas kesalahan tidak mematuhi peraturan dan undang-undang telah ditetapkan.
“Sebagai contoh, penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dan juga topi keledar, peraturan had laju adalah bertujuan untuk menjaga nyawa manusia. Seperti yang diketahui umum, hifz al-nafs (menjaga nyawa) merupakan antara teras paling utama dalam maqasid syarak,” katanya.
#Hukum mematuhi peraturan lalu lintas #Kementerian Pengangkutan Malaysia #Ops Selamat 15 #pihak berkuasa #Zulkifli Mohamad Al-Bakri
;