Berdepan cabaran, misi saringan COVID-19 di Long Jeeh tetap diteruskan

Astro Awani
Januari 29, 2021 18:40 MYT
Pasukan kesihatan yang menaiki helikopter Hornbill Skyways bagi meneruskan misi saringan COVID-19 di Long Jeeh, Ulu Baram. -Gambar Astro AWANI
TELANG USAN : Meskipun berdepan cabaran tetapi ia tidak mematahkan usaha lima pasukan kesihatan yang digerakkan ke Long Jeeh di Ulu Baram bagi melaksanakan saringan COVID-19.
Operasi berkenaan dibuat melibatkan penduduk di kawasan pedalaman berkenaan pada Jumaat.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Datuk Lee Kim Shin, kesemua mereka tiba dengan menaiki helikopter Hornbill Skyways yang berlepas dari Miri pada pukul 9.40 pagi.
"Misi ini sangat mencabar kerana penerbangan dari Miri memerlukan mereka singgah di Long Aka selama 40 minit untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan.
"Perjalanan balik juga menggunakan cara yang sama dari Long Jeeh.
"Operasi ini membabitkan pasukan perubatan daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak yang terdiri daripada dua doktor, dua inspektor kesihatan dan seorang jururawat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
BACA: Penduduk Long Jeeh, Ulu Baram rayu saringan COVID-19 dilakukan segera
BACA: Masalah helikopter, misi petugas kesihatan ke Long Jeeh ditangguhkan
Tambah Kim Shin, pasukan kesihatan terbabit sepatutnya diterbangkan ke penempatan itu pada pagi Khamis, bagaimanapun ditangguhkan ekoran masalah teknikal.
Mengulas mengenai misi saringan tersebut, sekitar 60 penduduk di Rumah Panjang Long Jeeh telah pun disaring.
"Seramai 53 penghuni Rh. Long Jeeh telah diambil swab dalam operasi hari ini. Kesemua sampel telah dihantar ke makmal Hospital Miri untuk diproses," jelas beliau.
Selain pasukan kesihatan, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Marudi turut digerakkan ke perkampungan itu untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi.
Terdahulu, dua penduduk rumah panjang tersebut disahkan positif COVID-19 dan dilaporkan sedang menjalani rawatan serta kuarantin di Hospital Miri.
Kawasan perkampungan di Long Jeeh dilaksanakan sekatan pergerakan selama 14 hari sehingga 9 Februari ini bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.
#Rumah Panjang Long Jeeh #Ops LJ #pandemik #COVID-19 #Hornbill Skyways #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian JPBB Miri #Menteri Pengangkutan Sarawak #Datuk Lee Kim Shin
;