Berbuka puasa atas bot nikmati keindahan Drawbridge
Sinar Harian
Mac 23, 2024 17:00 MYT
Mac 23, 2024 17:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Berbuka puasa di atas bot sambil menikmati pemandangan berhampiran Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini menjadi tarikan baharu kepada orang ramai apabila mengunjungi Terengganu ketika bulan Ramadan.
Jika sebelum ini orang ramai memilih untuk berbuka puasa di Dataran Shahbandar atau Pantai Batu Buruk, kini berbuka puasa di atas bot menjadi pilihan mereka bagi mencipta kelainan sambil menikmati keindahan matahari terbenam.
Pemilik Syarikat Pulau Sekati Bot Tour, Ahmad Muazzam Ramlee, 31, berkata, perkhidmatan itu memberi suatu pengalaman menarik kepada pengunjung selain mereka dapat mengabadikan gambar kenangan bersama individu terdekat di beberapa lokasi pelancongan popular ketika menyusuri Sungai Terengganu.
"Ini merupakan tahun ketiga kita adakan perkhidmatan berbuka puasa di atas bot berhampiran Jambatan Angkat.
"Alhamdulillah...kita menerima sambutan amat menggalakkan pada tahun ini dengan menerima tempahan sehingga dua hingga tiga bot pada hari biasa manakala menerima tempahan hingga lima bot pada hujung minggu.
"Sememangnya pada hujung minggu kita menerima banyak tempahan. Ada pengunjung yang datang dari jauh termasuk dari Kuantan, Pahang dan Singapura untuk merasai pengalaman menaiki bot sambil menikmati pemandangan indah iaitu melihat matahari terbenam di sekitar Jambatan Angkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Ahmad Muazzam menambah perkhidmatan itu juga boleh memuatkan seramai 12 pengunjung untuk berbuka puasa di atas bot pada satu masa.
"Orang ramai boleh menikmati pemandangan dengan menyusuri Sungai Terengganu bermula Jeti Pok Ali sehingga ke Jambatan Angkat melibatkan jarak kira-kira enam kilometer dengan mengambil masa satu jam perjalanan.
"Lebih menarik sekali pengunjung boleh melihat banyak tempat menarik antaranya Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal, Pasar Payang dan Pulau Duyong.
"Paling ikonik sekali, pengunjung juga dapat melihat mercu tanda Terengganu dengan bergambar di Jambatan Angkat selain dapat berbuka puasa di atas bot untuk melihat pemandangan indah itu pada waktu senja," jelasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Muazzam menyatakan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai soal keselamatan kerana pihaknya akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi termasuk memakai jaket keselamatan.
Selain itu, pengunjung juga tidak perlu risau berhubung soal lokasi untuk solat selepas berbuka puasa kerana jeti tersebut berhampiran dengan beberapa masjid termasuk Masjid Kristal serta Masjid Jamek Paloh. - Sinar Harian