Berbuka, moreh dan sahur dengan harumanis
Azyyati Ahmad
Mei 14, 2019 22:40 MYT
Mei 14, 2019 22:40 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan pengambilan mangga harumanis sebagai menu ketika berbuka dan bersahur serta menjadikan buah harumanis sebagai 'hamper' bersempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, langkah itu juga sebagai usaha membantu petani harumanis selaras dengan slogan kempen Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tahun ini iaitu, ‘Berbuka dan Bersahur Dengan Harumanis’.
Menurutnya, ketika lawatan ke Perlis Mac lalu, beliau turut meminta FAMA melaksanakan usaha menubuhkan jawatankuasa khas untuk memastikan pemasaran harumanis lebih terjamin.
“Saya gembira apabila diberitahu FAMA membeli harumanis di ladang gred A dengan harga RM21 dan saya rasa ia dapat memuaskan hati sebahagian besar pengusaha harumanis,” katanya.
Selain itu, Salahuddin berkata, beliau juga memberi arahan kepada agensi di bawah kementeriannya untuk turut menghidangkan harumanis pada majlis berbuka atau sahur.
“Di Kabinet pun saya sudah nyatakan, jika boleh jamuan kerajaan sepanjang ramadan turut dibekalkan menu harumanis sebagai contoh pulut dengan harumanis sama ada ketika waktu berbuka, moreh atau sahur,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa ‘Seharum Kasih, Semanis Ramadan’ bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya pada Selasa.
Katanya di masa hadapan, dengan teknologi baharu, harumanis mempunyai masa depan cerah dalam memberikan bekalan yang mencukupi bagi menembusi pasaran Jepun dan negara lain.
Tahun ini pengeluaran mangga harumanis adalah 2,367.88 tan dengan keluasan bertanam 1,287.41 hektar dan luas berhasil pula 947.07 hektar.
FAMA juga mengatur jualan secara dalam talian melalui portal Agrobazaar Online di laman sesawang www.agrobazaar.com.my dengan harga tawaran dalam talian ialah RM100 sekotak seberat tiga kilogram.
#berbuka puasa
#FAMA
#Harumanis
#jawatankuasa khas
#kempen
#Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
#puasa
#Ramadan
#sahur
#Salahuddin Ayub