#BerbudiBersama di Johor beri manfaat kepada komuniti
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 29, 2024 15:37 MYT
Ogos 29, 2024 15:37 MYT
ISKANDAR PUTERI: Program #BerbudiBersama anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam jelajahnya di lokasi ketiga di Johor menampilkan kelainan tersendiri.
Program yang dianjurkan bersama Iskandar Investment Berhad ini berlangsung di Mall of Medini, Nusajaya Iskandar Puteri dan menggamit kehadiran ramai warga kota.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata Berbudi Bersama diadakan khas untuk komuniti setempat dan juga sebagai platform untuk menyampaikan pelbagai peluang dan manfaat daripada syarikat-syarikat di bawah Khazanah kepada masyarakat.
Menurutnya lagi, program ini juga bertujuan untuk menyantuni masyarakat dan sebagai tanda penghargaan atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepada Khazanah selama tiga dekad kewujudannya.
Selaras dengan perjalanan Khazanah dalam memajukan negara selama 30 tahun, Berbudi Bersama menggambarkan tekad untuk memperkukuhkan komitmen entiti besar itu terhadap pembangunan negara dengan menggalakkan kerjasama dalam menyampaikan nilai kemasyarakatan, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.
"Setiap syarikat tidak akan berjaya tanpa sokongan komuniti. Ini adalah peluang untuk kami melibatkan komuniti, dengan memanfaatkan kekuatan yang ada pada mereka.
"Matlamat akhirnya adalah melakukan semua dengan semangat kerjasama untuk komuniti. Bukan sahaja syarikat boleh menyumbang kembali kepada komuniti atau membangunkan negara, tetapi komuniti juga berperanan penting dalam memajukan negara.
"Saya melihat kebanyakan gerai di sini pernah membuat inovasi seperti air kelapa dan makanan lain. Inilah peluang di mana masyarakat boleh mencipta benda-benda baharu dan semangat ini yang menunjukkan negara kita boleh maju ke hadapan," ujarnya.
Program ini juga disifatkan selaras dengan tonggak utama #BerbudiBersama di Johor, iaitu membina kapasiti melalui penciptaan peluang dan pembangunan komuniti.
Terdapat pelbagai reruai pada program berkenaan, antaranya Iskandar Investment Berhad, Yayasan Hasanah, Think City, Plus, UEM Sunrise, Destination Resorts and Hotels, TM, TNB, IHH Healthcare, Cenviro, Farm Fresh, dan rakan niaga lain.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah, juga mengambil peluang untuk memperkenalkan prototaip rumah mampu milik yang lebih efisyen dan selesa.
"Untuk program Berbudi Bersama, kami mengambil kesempatan untuk mempromosikan prototaip rumah mampu milik kami, di mana kami memperkenalkan konsep terbaru yang berasaskan seni bina modular dan berskala tinggi.
"Ia menggunakan teknologi baru berdasarkan Modul dan Playbook reka bentuk rumah mampu milik kami. Konsep ini juga kami utarakan dalam forum hartanah kami yang bertemakan 'Form to Future', di mana UEM Sunrise menjemput panel-panel pakar untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan reka bentuk dan pembangunan hartanah bestari masa depan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Siti Kamariah Ahmad Subki, memaklumkan bahawa dana sebanyak RM500,000 boleh dipohon oleh golongan usahawan kecil dan sederhana yang kreatif dan inovatif sehingga 15 September.
"Kita ada banyak program dalam bidang pembangunan komuniti dan pendidikan, pendidikan alam sekitar, serta ruang awam.
"Medini Iskandar adalah peluang awam yang sangat menarik untuk ramai daripada luar Johor datang menikmati dan menjalankan program berimpak dan inovatif di kawasan ini.
"Kami menjangkakan banyak permohonan akan diterima, termasuk dari gerai-gerai yang dibuka oleh Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan. Kami berharap masyarakat di luar sana dapat memanfaatkan terutama untuk usahawan dan perusahaan sosial yang berinovasi dan berimpak tinggi," katanya.
Ketua Kelestarian dan ESG Iskandar Investment Berhad (IIB), Diyana Mohd Amin, menyatakan projek pembangunan menerusi Hasanah Medini Impact Challenge 1.0 perlu memberikan impak yang tinggi di Iskandar Malaysia.
"Kami menerima sambutan yang baik tetapi terpaksa menangguhkan tarikh kerana masyarakat baru sahaja mengetahui tentang ini. Kami juga mengajak masyarakat, terutama perusahaan sosial, untuk menyertai kerana ini kali pertama Yayasan Hasanah menjemput mereka ke Medini dan kami baru sahaja mengumumkan daerah emparan karbon sifar yang seterusnya," katanya.
Program Berbudi Bersama ini juga tidak melupakan elemen penting dalam pembangunan masyarakat iaitu pembangunan bakat anak muda melalui inisiatif Iskandar Investment Berhad (IIB).
Ketua Bahagian Pendidikan IIB, Azizah Khalil Merican, menegaskan bahawa latihan bakat dan padanan industri juga dilaksanakan sejajar dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) agar graduan muda mendapat gaji yang kompetitif dan memenuhi keperluan industri.
"Dengan inisiatif antara IIB dan Khazanah, buat masa ini kita ada dua inisiatif utama, iaitu dua dana ilmu di mana kita memberikan RM300,000 kepada 60 pelajar B40 untuk belajar di Educity.
"Ini bertujuan membantu mereka dalam bidang yang diperlukan oleh industri pada masa kini. Satu lagi inisiatif adalah program latihan untuk lebih 1,100 graduan dalam tiga bidang: Digital and Tech, Machinery, dan Hospitality. Mereka akan mendapat latihan dan penempatan kerja selama empat bulan di pelbagai industri di seluruh Malaysia," katanya.
Selepas Johor, #BerbudiBersama yang diterajui Khazanah akan meneruskan jelajah ke Sarawak sebelum menutup tirai pada tahun ini.