Berbeza agama bukan halangan sambut Tahun Baharu Cina

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 25, 2020 17:26 MYT
Ben Ooi Chooi Beng (empat dari kanan) dan isteri, Ema Ariani meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya di Bayan Lepas, Pulau Pinang. - Gambar Astro AWANI
Berbeza agama bukanlah halangan buat seorang saudara baharu, Ben Ooi Chooi Beng, 38, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk meneruskan tradisi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga yang bukan Islam.
Sejak memeluk Islam tiga tahun lepas, Ben sentiasa akan memastikan dia dan isteri, Ema Ariani serta tiga orang anak mereka, Gabriel Ooi Wei Sheng, Joshua ooi Wei Shan dan Angelina Ooi Wei Ting tidak pernah terlepas meraikan perayaan itu sehingga sekarang.
Menurut Ben yang juga seorang penceramah bebas, lazimnya dia sekeluarga akan berkunjung dan berkumpul di rumah abangnya, Ooi Chooi Leong, di sini untuk bertemu ibu dan bapa serta kakaknya bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baharu.
Anak bongsu daripada tiga orang adik beradik itu berkata, pertemuan itu merupakan acara tahunan keluarga biarpun dia kini sudah bergelar seorang muslim.
"Walaupun saya baru memeluk agama Islam, tetapi saya berbangsa Cina, namun ukhwah bersama ahli keluarga masih terjalin seperti biasa.
"Setiap tahun kami sekeluarga akan datang ke rumah abang untuk berkumpul bersama sebab kalau bukan kerana sambutan Tahun Baharu Cina, kita jarang berjumpa sebab inilah peluang keemasan kita berkumpul dengan keluarga," kata Ben Ooi Chooi Beng.
Bersempena dengan Tahun Baharu Cina juga, Ben berharap, ikatan silaturahim antara keluarga dapat dieratkan dan meminta seluruh rakyat Malaysia agar saling menghormati antara satu lain agar perpaduan dapat dikekalkan.
Sementara itu, ibu dan bapa Ben, Loh Nget Sun, 73, dan Ooi Keat Hoe, 76, berkata mereka bersikap terbuka ketika Ben menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam.
Jesteru, setiap kali perayaan, mereka sekeluarga akan membuat persiapan dengan memasak makanan dan juga akan membeli makanan yang halal buat Ben sekeluarga.
"Walaupun dia agama lain tetapi kita faham, bila dia mahu memeluk (agama Islam), (saya pesan) kena jadi betul-betul. Macam sekarang tak putus (hubungan) (ibarat) air dicincang tidak akan putus," kata Ooi Keat Hoe bapa kepada Ben Ooi Chooi Beng.
#Cina #Islam #saudara baharu #Tahun Baharu Cina
;