Berbasikal di lebuh raya tetap dilarang, denda RM300 hingga RM2,000 jika ingkar
Ridauddin Daud
September 22, 2020 20:36 MYT
September 22, 2020 20:36 MYT
Individu yang gagal mematuhi larangan berbasikal di lebuh raya boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 jika disabitkan bersalah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, mereka yang gagal mematuhi papan tanda larangan berbasikal sebenarnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Aktiviti tersebut (berbasikal) hanya dilarang di lebuh raya namun masih dibenarkan di jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan.
“JSPT menasihatkan kepada penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
“Ia bagi menjamin keselamatan diri mereka serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kenyataan tersebut adalah respons terhadap isu larangan penggunaan basikal di lebuh raya di seluruh negara yang kini hangat diperkatakan.
Baru-baru ini isu tersebut dibincangkan di media sosial di mana ramai warganet merungut dengan tindakan segelintir individu berbasikal dengan cara bahaya di lebuh raya.
Tindakan mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah membahayakan keselamatan orang lain yang menggunakan jalan tersebut.
Aktiviti berbasikal mula mendapat perhatian meluas sejak kebelakangan ini apabila kesedaran menjaga kesihatan sudah mula meningkat dalam kalangan masyarakat.
#Akta Pengangkutan Jalan 1987
#basikal
#Bukit Aman
#denda
#jalan bandaran
#jalan negeri
#jalan persekutuan
#kesalahan
#kesihatan
#lebuhraya
#Media
#media sosial
#siasatan
#undang-undang