Berbaki satu SOP, cerminan kejayaan Keluarga Malaysia - Hishammuddin pengerusi sidang terakhir Kuartet COVID-19

Firdaus Azil
Mei 18, 2022 18:15 MYT
Hishammuddin hadir sempena mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 yang bersidang buat kali terakhir hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sejak permulaan COVID-19 pada awal tahun 2020, sebanyak 181 prosedur operasi standard (SOP) telah digunapakai, dan kini hanya tinggal satu SOP asas, dan 19 garis panduan, kata Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Memasuki fasa peralihan ke endemik, Menteri Kanan Pertahanan itu berkata, kini semua sektor telah dibuka, setiap sambutan perayaan telah dibenarkan, pelitup muka sudah tidak diwajibkan, malah penggunaan MySejahtera juga bukan lagi satu kewajiban.
Situasi itu, jelasnya lagi, merumuskan bahawa usaha-usaha yang dibuat oleh Kuartet telah membolehkan kehidupan seharian rakyat telah kembali kepada situasi hampir normal, sekali gus menepati matlamat awal penubuhan Kuartet.
“Sepanjang sembilan bulan ini, Mesyuarat Kuartet telah menjadi antara pendekatan utama khususnya dalam usaha Kerajaan untuk membuka semula negara secara berperingkat dan selamat atau Reopening Safely.
“Matlamat utama Kerajaan di sebalik usaha ini adalah bagi membolehkan rakyat kembali dapat menjalani kehidupan seharian secara hampir normal serta belajar hidup bersama virus COVID-19,” katanya lagi.
Hishammuddin berkata demikian dalam kenyataan media sempena mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 yang bersidang buat kali terakhir hari ini.
Turut menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari, serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, matlatmat utama kerajaan itu penting memandangkan kira-kira setahun setengah sebelum itu, ketika negara dan dunia sedang berusaha memahami dan mengkaji tentang COVID-19, rakyat juga terpaksa hidup dengan pelbagai bentuk sekatan yang ketat terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Selain itu beliau berkata, Kerajaan mengambil maklum bahawa PKP memberi tekanan kepada banyak pihak serta sektor dan ia tidak boleh dibiarkan berlanjutan terlalu lama.
“Namun untuk memastikan usaha Reopening Safely ini dapat dijayakan, ia bukan perkara yang mudah. Cabarannya besar sekali gus memerlukan banyak usaha dilaksanakan dan pelbagai pihak daripada Kementerian, agensi Kerajaan dan sektor swasta perlu dilibatkan.
“Secara umumnya, di peringkat awal, Kuartet telah memberi tumpuan kepada usaha pembukaan semula sektor pendidikan secara berperingkat dan selamat seterusnya membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran kembali diadakan menerusi kaedah bersemuka di sekolah,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Hishammuddin berkata, Kuartet juga memperhalusi kaedah yang sesuai dan selamat untuk merancakkan semula sektor ekonomi serta membuka semula secara berperingkat dan selamat pelbagai lagi sektor lain termasuk sektor pelancongan, sektor pekerjaan, sektor industri dan pembuatan serta sektor sukan.
Pembukaan sempadan negeri dan negara secara berperingkat, katanya lagi, turut menjadi antara fokus utama Kuartet.
“Ini juga rumit memandangkan ia melibatkan pergerakan keluar masuk negeri dan negara dalam skala yang besar. Namun, hasil usahasama semua pihak termasuk rakyat sendiri, sempadan negeri telah dapat dibuka pada Oktober tahun lalu selepas kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa telah mencapai 90%.
“Manakala sempadan negara juga telah dibuka secara berperingkat terutama menerusi skim Vaccinated Travel Lane (VTL) dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara juga telah dapat dilaksanakan pada 1 April lalu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli tetap Kuartet, khususnya empat Menteri termasuk beliau sendiri; Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia atas komitmen yang tinggi serta kerjasama yang amat baik sejak dari hari pertama bermesyuarat.
“Tidak dilupakan juga, Menteri yang turut dilibatkan secara berkala iaitu Menteri Kanan Kerja Raya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia, Menteri Perpaduan Negara, Menteri Luar Negeri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya serta Menteri Belia dan Sukan.
“Terima kasih juga Majlis Keselamatan Negara sebagai peneraju dan semua 29 agensi serta pasukan beruniform yang terlibat termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia kerana cukup komited demi memastikan setiap perancangan Kuartet dapat dimplementasikan dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Paling utama, Hishammuddin berkata, beliau bagi pihak Kuartet mengucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia kerana sentiasa memahami dan menyokong setiap ikhtiar Kerajaan dalam memerangi COVID-19.
Melangkah ke hadapan, tambahnya lagi seperti telah dinyatakan beberapa kali sebelum ini, Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan semula sekatan besar-besaran.
“Justeru, diharapkan satu SOP dan 9 garis panduan yang digunapakai ketika ini diamalkan dengan sebaik mungkin. Kekal berdisiplin, jaga kebersihan diri dan terus pakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup demi keselamatan diri dan ahli keluarga,” katanya Hishammuddin lagi.
#Kuartet COVID-19 #Hishammuddin Hussein #COVID-19 #Fasa Peralihan Ke Endemik #Majlis Keselamatan Negara #SOP
;